Jumaat, Oktober 05, 2018

Dua, Tiga Minit Tak Boleh Selesaikan Isu Dengan DSV; Aishah Tolak Jemputan Astro Ke Konsert Ke-2 GV5



Kontroversi antara penyanyi Aishah dan Datuk Seri Vida terus berpanjangan. Terkini, penyanyi yang terkenal dengan lagu Janji Manismu itu memberikan tempoh 7 hari kepada Vida dengan dua tuntutan. Jika gagal, maka tindakan undang-undang akan diambil kepada Datuk Seri Vida.

Sementara itu, Aishah berkata, dia juga menolak jemputan untuk hadir pada minggu kedua Gegar Vaganza musim kelima (GV5) bagi menyelesaikan isu berkenaan seperti dicadangkan pihak Astro.
Kata Aishah, pentas nyanyian tersebut bukan tempat yang sesuai untuk menyelesaikan itu.


"Saya dapat jemputan rasmi untuk hadir pada minggu ini GV5 tapi saya tidak akan hadir berikutan pentas nyanyian bukan tempat yang sesuai untuk selesaikan isu itu.

"Mungkin penaja baru iaitu Datuk Seri Aliff Syukri menganggap perkara itu kecil dan saya anggap ia seperti memperlekehkan isu ini sahaja.

"Ia hanya berkaitan 'rating' sahaja, perkara itu tidak boleh selesai dalam tempoh dua tiga minit siaran langsung itu," katanya.

Dalam pada itu, Aishah berkata, tindakan yang dilakukan ini adalah bagi menyedarkan pihak penaja dan badan penyiaran agar tidak terus membuli artis untuk kepentingan mereka.


"Kalau saya tidak bercakap dan menuntut keadilan ini sampai bila artis ingin ditipu dan dibuli? Ramai yang melalui perkara sama tapi hanya berdiam diri," ujarnya.