Selasa, Ogos 08, 2017

Saya Tak Ada Hati Terhadap Aliff Aziz - Afifah Nasir



"Saya mohon maaf atas apa yang berlaku."


Selepas sekian lama membisu, Afifah Nasir tampil membuka mulut dan memohon maaf terhadap palitan kontroversi membabitkan diri dengan artis kelahiran Singapura, Aliff Aziz.


Pelakon baharu yang juga adik kepada artis Anzalna itu, mengakui langsung tidak menyimpan perasaan terhadap Aliff, 26, jauh sekali mahu merosakkan rumah tangga pelakon itu bersama isterinya, Bella Astillah, 23.


"Saya mohon maaf atas apa yang berlaku. Sejujurnya, saya tiada hati terhadap Aliff. Saya juga faham perasaan Bella sebagai isteri dan ibu yang baru melahirkan anak. Saya tidak pernah menyalahkannya.

"Silap saya hanya kerana membiarkan tangan saya dipegang Aliff di premis karaoke itu," katanya pada sidang media yang diadakan di pejabat peguamnya di sini, hari ini.


Sebelum ini, kontroversi membabitkan Afifah tercetus selepas didakwa menjalin hubungan dengan Aliff yang berlakon dengannya dalam drama Izinkan Aku Mencintaimu.



Isu terbabit menjadi panas selepas Bella membuat laporan polis susulan kekasaran suaminya yang ditemui berdua-duaan di sebuah bilik karaoke dengan Afifah. - BH Online