Rabu, Julai 05, 2017

Penyanyi Saleem Masuk Hospital!



Penyanyi bersuara emas iaitu Saleem dilaporkan kini berada di hospital. Isterinya, Juriah Bachok atau lebih mesra disapa Julia ketika dihubungi mStar Online memberitahu Saleem dimasukkan ke sebuah hospital di ibu negara malam Selasa akibat demam panas.

Penyanyi kumpulan Iklim itu mengalami demam hampir sebulan lalu namun keadaannya semakin teruk sejak dua hari lalu sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Sebenarnya dia sudah mengalami demam sejak sebulan tetapi sekejap baik dan kemudian demam kembali.


"Dia gagahkan diri sebenarnya namun semalam (Selasa) keadaannya semakin teruk dan suhu badannya meningkat sehingga 40 darjah celcius dan saya terus bawanya ke hospital," katanya.

Menurutnya lagi Saleem sepatutnya melakukan pembedahan bagi membuang ketumbuhan di bahagian testis pada Khamis namun ia terpaksa ditangguhkan kerana demam dialaminya.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada keadaan Saleem itu berpunca daripada ketumbuhan itu dan pihak doktor telah pun melakukan beberapa ujian bagi mengetahui keadaan sebenar.