Ahad, Julai 09, 2017

Kawan Yang Ada Boleh Bilang Dengan Jari - Aidil Aziz



Kontroversi membabitkan pelakon Aidil Aziz sebelum ini sehingga hampir membawa dirinya ke tali gantung kerana dituduh mengedar dadah jenis ganja dan memiliki senjata berbahaya ternyata memberikan impak besar dalam kehidupannya.

"Peristiwa hitam itu benar-benar memberi kesan psikologi pada diri saya sehingga saya fikir industri hiburan dah bersedia untuk cakap 'bye-bye' buat insan bernama Aidil Aziz.

"Namun Allah itu maha adil di mana ketakutan itu diganti dengan rezeki yang tak pernah saya jangkakan.

"Alhamdulillah, hari ini saya masih diberi peluang untuk kembali mewarnai dunia senilakon tanah air," ujarnya ketika ditemui di set penggambaran drama 40 eposid Vila Ghazara.

"Jujur saya katakan, kawan yang ada sekarang hanya boleh dibilang jari dan kebanyakannya mula menghilang begitu sahaja selepas insiden itu.

"Tidak mengapalah...yang ada sekarang adalah layak saya panggil sahabat dan setidak-tidaknya saya tahu siapa kawan, siapa lawan," ujarnya. - mStar Online