Khamis, Julai 06, 2017

Hattan, Nash Tunai Ibadah Haji Bulan Depan



Dua lagenda rock tanah air, Datuk Hattan dan Datuk Nash meluahkan rasa syukur setelah terpilih untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini.

Kedua-dua penyanyi tersebut bakal berlepas ke Tanah Suci Mekah dalam penerbangan terakhir jemaah pada 24 Ogos depan. Hattan, 53 berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu terpilih untuk menunaikan rukun Islam ke lima itu baru-baru ini.

Malah jelasnya, dia sanggup menolak tawaran untuk beraksi pada malam penutup Sukan Sea 2017 kerana tidak mahu terlepas peluang keemasan untuk mengerjakan ibadah haji.

“Saya dapat tentang berita ini sebelum bulan Ramadan. Sejujurnya, memang terkejut sebab ini adalah peluang yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam,” katanya yang sudah dua kali mengerjakan umrah.


Dalam pada itu, Nash berkata, dia sangat merindukan tanah suci sementelah pernah mengerjakan umrah sebanyak dua kali dan memasang impian untuk mengerjakan haji selama ini.

“Doa tak putus-putus untuk saya berpeluang mengerjakan haji. Kalau diberi pilihan pun, cakaplah mana destinasi percutian, saya tetap memilih Mekah dan Madinah. Tenang.

“Insya-Allah, kami akan berlepas hujung Ogos depan. Saya minta semua mendoakan perjalanan kami. Saya juga ingin memohon kemaafan daripada semua,” katanya.-Utusan Online