Isnin, Julai 31, 2017

Akhirnya Aliff Aziz Mengaku Curang; Harap Afifah Tak Berdolak-Dalik!



Penyanyi Aliff Aziz akhirnya mengaku sikap kerana curang terhadap isterinya Bella Astillah selepas dia kantoi berdua-duaan dengan Nur Afifah Nasir di kelab karaoke, Khamis lalu.  Aliff, 26,  berkata, dia tidak mahu menafikan perkara berkenaan, sebaliknya meminta maaf kepada semua pihak yang terjejas kerana kontroversi itu. 

"Sebagai manusia biasa saya tidak lepas daripada buat kesilapan dan saya akui melakukan perkara itu atas sebab-sebab yang tidak dapat saya jelaskan.  


"Apa yang saya boleh katakan, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Perkara sebenarnya hanya saya dan dia (Afifah) sahaja yang tahu," ujarnya.  

Dalam pada itu Aliff berkata, kesilapan tersebut merupakan paling besar yang pernah dilakukan dalam kehidupannya yang mana turut melibatkan beberapa pihak lain. 

"Saya harap pihak Afifah tidak berdolak-dalik dan berfikiran sama untuk mengaku bersalah. Pada saya dia tidak perlu untuk menegakkan benang yang basah.  


"Kalau niatnya mahu menjaga reputasi, ia sudah pun berakhir," ujarnya.

Dalam kesempatan itu, Aliff turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan memukul isteri dalam kejadian tersebut.   Katanya, kecederaan yang dialami oleh Bella adalah akibat pergelutan yang berlaku antara mereka. Malah dia tidak berniat untuk mencederakan isterinya itu.  

"Dakwaan saya pukul isteri seperti yang ditulis di akhbar sangat berat buat saya. Saya tidak pukul Bella, malah kenyataannya di dalam laporan itu hanyalah mengasari tanpa sengaja.  


"Saya bukan jenis manusia kaki pukul dan tidak pernah sekalipun memukul siapa-siapa dengan sengaja," ujarnya.  - mStar Online