Isnin, Jun 05, 2017

Ziana Zain Lebih Suka Masak Sendiri; Selesa Buka Puasa Di Rumah Bersama Keluarga



Berkongsi sambutan Ramadan tahun ini, Ziana yang ditemui di Majlis Pelancaran Kempen Raya dan Berbuka Puasa Bersama Ibu Tunggal di pusat membeli belah The Curve, Rabu lalu, mengakui melalui rutin serupa sebagai isteri dan ibu kepada empat anak.

Walaupun sibuk dalam bidang perniagaan terutamanya  dua tiga minggu kebelakangan ini tetapi itu tidak membuatkan Ziana lupa kepada tanggungjawabnya yang memastikan rutin di rumah berjalan seperti biasa. 

Kata Ziana lagi, sudah menjadi amalan mereka sekeluarga berbuka puasa di rumah sambil menikmati juadah yang disediakannya sendiri sepanjang Ramadan.

“Memang dari dulu lagi saya dan suami lebih suka berbuka puasa bersama-sama di rumah dan kami  cuba terapkan kepada anak-anak. 

“Saya jarang beli makanan di luar sebab sejak dulu saya memang suka masak dan sediakan sendiri menu pilihan suami dan anak-anak. 

“Kalau ada urusan di luar atau majlis berbuka puasa yang perlu dihadiri, saya akan masak dulu  sebelum keluar agar hati senang dan tidak merasa bersalah meninggalkan mereka di rumah,” jelasnya.

Dalam pada itu, ibu kepada Muhammad Aiman, 17, Muhammad Ammar, 14, Muhammad Ariel dan Siti Nour Kaseh, 8, mengakui gembira melihat anak-anaknya teruja menyambut Ramadan.
“Sebagai ibu saya sangat gembira bila anak-anak sibuk nak berpuasa, terawih dan sebagainya tanpa perlu kita suruh.   

“Begitu juga dengan si kembar bongsu yang beria mahu berpuasa penuh sepanjang Ramadan walaupun kadang kala tak mampu," katanya.


Bagaimanapun, katanya, dia tidak memaksa dan mahu mereka melakukan mengikut kemampuan diri. - Sinar Online