Rabu, Jun 07, 2017

Pelakon Bukan Kayu Jadikan Andainya Takdir Drama Berkualiti Benam Populariti Drama Lain Sama Waktu Tayangan!



Tidak menyenaraikan pelakon sensasi. Tidak bersandarkan kisah kontroversi pelakon yang tidak bertepi. Tidak menggunakan kisah cinta peribadi sebagai teknik murahan promosi. Tidak juga mengambil kesempatan menggunakan populariti pelakon utama untuk menyanyikan lagu tema drama. Malah tidak menggunakan mana-mana novel untuk dijadikan sebagai drama adaptasi!

Namun di sebalik kesemua aspek tidak yang disenaraikan di atas, drama Andainya Takdir yang sedang ditayangkan di TV3 menerusi Slot Samarinda setiap Isnin hingga Khamis pada jam 10 hingga 11 malam ternyata mampu trending pada setiap kali tayangan.

Malah lakonan para pelakonnya sangat-sangat berkesan. Emosi yang disampaikan mampu meresap ke dalam lubuk hati penonton. Tidak ada istilah 'kayu' dalam diri para pelakon. Sama ada pelakon sampingan dan pelakon pembantu apatah lagi pelakon utamanya lakonan Shukri Yahaya dan Nina Iskandar.

Watak kontra antara anak yang begitu patuh dan mendengar setiap kata ibunya dan suami yang baran dan kaki pukul ketika cemburu dan amarah juga watak suami romantis dan penyayang ketika waktu normal, menjadikan Shukri Yahaya sebagai seorang pelakon lelaki generasi kini yang berdiri atas bakat dan bukannya kontroversi murahan yang dicipta bertubi-tubi.

Nina Iskandar pula ternyata begitu berjaya menzahirkan watak sebagai anak, menantu, isteri dan ibu dalam randisi dan posisi watak dengan sangat berkesan. Malah, Sheila Mambo sebagai ibu mertua kaki mengumpat dan ingin mengusai kehidupan suami dan anak-anak teryata sangat berjaya menghidupkan drama ini.

Tahniah kepada semua yang terlibat dalam produksi drama ini!