Khamis, Jun 08, 2017

Netizen Bengang! Watson Tarik Balik Iklan Raya Tak Sampai 12 Jam Dilancarkan!



Iklan berjudul Legenda Cun Raya berdurasi 15 minit dilakonan barisan artis popular seperti Kamal Adli, Ruhainies, Uqasha Senrose, Raja Ilya, Sasha Saidin, Thanuja, Bell Ngasri dan Ember Chia terbitan  rangkaian farmasi Watson dituduh mempunyai unsur perkauman dan diskriminasi terhadap warna kulit hitam.

Video yang disiarkan awal pagi semalam menerima lebih 300,000 tontonan sebelum ia dipadam dari laman Facebook rasmi jenama itu tidak sampai 12 jam selepas dilancarkan sempena kempen Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.


Rata-rata netizen berang dan mempersoalkan tujuan Watson mengangkat isu perkauman serta merendahkan individu berkulit gelap. Malah, ia juga mengambarkan wanita sebagai objek yang perlu diadili oleh kaum lelaki.

Watson dalam satu kenyataan di laman sosialnya pada petang Rabu memohon maaf kepada netizen yang terkesan dengan video berkenaan.

Tambahnya, cerita yang cuba disampaikan menerusi iklan tersebut tidak mempunyai sebarang niat buruk, sebaliknya diinspirasi daripada cerita lagenda Dayang Senandung yang turut pernah difilemkan.

Video tersebut secara ringkasnya menceritakan tentang seorang Raja lakonan Kamal Adli sebagai watak utama, mencari gadis bersuara merdu dalam mimpinya dan terpikat dengar suara merdu seorang gadis berkulit gelap dan digambarkan sebagai hodoh.

Namun, Raja itu tetap juga mengahwini gadis itu atas dasar mengotakan janji. Pada akhir video berkenaan, gadis itu sebenarnya sengaja menghitamkan wajahnya sebagai menguji keikhlasan Raja itu. Gadis itu kemudian tampil putih semula selepas menggunakan produk Watson. - mStar Online