Ahad, Mei 28, 2017

Sinopsis Drama Cerita Ramadan Hazim; TV2



SINOPSIS CERITA RAMADAN HAZIM 

Mengisahkan Hazim, anak tunggal dalam keluarga. Dia dilahirkan di Malaysia tetapi dibesarkan di Abu Dhabi kerana bapanya bertugas di sana. Sejak lima tahun yang lalu, Hazim tidak lagi berpeluang untuk berpuasa dan beraya di Malaysia. Selepas arwah neneknya meninggal, abah tidak lagi pulang ke Malaysia. Mereka menyambut di sana sahaja. 
Melalui laman facebook, Hazim sentiasa berhubung dengan Pak Su Hanafi. Pak Su Hanafi ialah adik bongsu abahnya. Mereka sering berkongsi cerita di laman maya. Pak Su masih bujang, tinggal di rumah pusaka peninggalan arwah datuk dan nenek. Tahun ini, Hazim menyatakan hasratnya untuk berpuasa dan berhari raya di Malaysia. Kebetulan ketika itu, cuti semester sekolahnya. Ibu dan abah bersetuju dengan cadangannya.
Pak Su Hanafi adalah orang paling gembira dengan kepulangan Hazim. Pak Su seorang guru Matematik. Dia bertugas di sekolah menengah di kampung itu. Pak Su terus menetap di rumah pusaka kerana mahu sentiasa berada dalam ‘roh kasih sayang ibu dan abahnya’. Selepas ibunya (nenek Hazim) meninggal, rumah itu tiada berpenghuni. Hanya Mak Long (sepupu arwah ibu) yang tolong jenguk-jengukkan rumah itu. Pak Su tinggal sendirian di rumah itu. Arwah datuk Hazim sudah lama meninggal dunia.
Pak Su ada tiga beradik. Yang sulung ialah bapa Hazim. Yang kedua, Mak Ngah Sarah yang tinggal di pantai timur. Sejak berkahwin, Mak Ngah juga jarang-jarang pulang ke kampung apatah lagi selepas ibunya tiada. Dengan Hazim, Pak Su bercerita mengenai kerinduannya untuk menyambut Ramadan dan Syawal seperti dahulu. 
Pak Su bersedih setiap kali munculnya Ramadan dan Syawal selepas ibu dan abah tiada. Rumah pusaka itu tidak lagi meriah seperti dahulu. Abang dan kakak sibuk dengan hal masing-masing. Pak Su hanya menumpang kasih dengan saudara-mara yang masih ada. Tahun ini, Pak Su berazam untuk mengembalikan kemeriahan Ramadan dan Syawal seumpama ibu dan abah masih ada. Pak Su mahu menyatukan adik-beradiknya di rumah pusaka ini semula pada tahun ini. 
Tambahan pula, Pak Su merancang untuk mengikat tali pertunangan dengan Nur Sufiyyah pada tahun ini. Nur Sufiyyah, gadis daerah yang sama, graduan perakaunan UIA yang memilih untuk membantu perniagaan restoran bapanya di kampung itu. Abahnya seorang pesara tentera. Pak Su jatuh hati dengan Nur Sufiyyah setelah kerap datang makan ke restoran itu. Masakan air tangan Nur Sufiyyah telah menambat hatinya. 
Hazim sangat teruja untuk memenuhi impian Pak Su. Malah, Hazim sendiri terlalu rindukan saat manis menyambut Ramadan dan Syawal ketika arwah nenek masih ada dahulu. Tanpa pengetahuan Pak Su, Hazim merancang untuk ‘mendorong’ ibu dan abahnya serta Mak Ngah sekeluarga untuk beraya di kampung pada tahun ini. Hazim berkongsi foto-foto lama mereka sekeluarga ketika berhari raya bersama dahulu. Macam-macam dikongsikan; dengan ‘captioncaption’ yang menyentap rasa demi menggamit nostalgia mereka. Hazim turut menyatakan hasrat Pak Su untuk bertunang. 
Ramadan berlangsung dengan penuh kesyukuran. Pak Su gembira kerana dapat menjalani ibadah puasa dengan Hazim – yang setia menemaninya dari sahur, berbuka hinggalah bertarawih. Hazim pula menikmati Ramadan tahun ini sepuas-puasnya. Suasana di Malaysia ternyata sangat berbeza dari Abu Dhabi. Mereka melakukan pelbagai perkara bersama. Mereka menghias rumah, memasang pelita, menukar langsir dan sebagainya; sesuatu yang pernah dilakukan lewat lima tahun yang lalu. Pak Su sanggup berhabis untuk lebaran tahun ini.

Namun adakah impian usaha Hazim untuk mengumpulkan keluarga mereka tercapai? Apakah dia berjaya melakukan sesuatu yang sangat bermakna pada lebaran tahun ini mengajak ibu dan ayahnya pulang dari Abu Dhabi?