Khamis, Mei 18, 2017

Mujur Saya Dapat Tahan Marah - Rosyam Nor



Datuk Rosyam Nor mempertahankan cara penyampaiannya sebagai perantara program Dialog TN2050, di Putrajaya, semalam, walaupun dipertikaikan penerbit David Teo. Dialog berkenaan diadakan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama penggiat seni di Seri Perdana, Putrajaya.

Rosyam ketika dihubungi, berkata David sepatutnya perlu lebih bijak untuk menyesuaikan diri.

"Dalam perkara ini kita kena ikut pepatah, apabila masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. InsyaAllah semuanya akan berjalan baik," katanya.

Dalam kejadian itu, David ditampar pelakon dan pelawak Sulaiman Yassin atau Mat Over selepas dia mempertikaikan cara Rosyam mengendalikan program itu.

Beliau merasakan tidak adil kerana hanya memberi fokus kepada tetamu yang berhadapan dengannya dan bukan di belakang. Rosyam berkata, insiden itu tidak sepatutnya berlaku apatah lagi di depan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Selepas kejadian itu, saya agak bercelaru. Ia tidak sepatutnya berlaku kerana penggiat seni sudah diberi peluang oleh Perdana Menteri untuk melontarkan pandangan.

“Memang saya kecewa dan mujur saya dapat menahan kemarahan. Bagaimanapun, apa yang berlaku itu tidak mewakili semua penggiat seni.


“Selepas itu, saya ada bercakap dengan Perdana Menteri dan beliau okay saja. Saya rasa beliau faham,” katanya. - Metro Online