Ahad, Mei 21, 2017

Bila Saya Bising Orang Marah, Bila Selesai Senyap-Senyap Orang Persoal - Zed Zaidi



Isu David Teo ditampar pelakon Sulaiman Yassin atau Mat Over selepas dia mempertikaikan cara Rosyam mengendalikan program itu. David merasakan tidak adil kerana Rodyam hanya memberi fokus kepada tetamu yang berhadapan dengannya dan bukan di belakang.

Presiden, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) iaitu Zed Zaidi berkata pihaknya sudah menjalankan tanggungjawab dengan pantas apabila membuka jalan pendamaian insiden pertelingkahan David Teo dan  Mat Over sebelum majlis Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN2050) tamat.

Zed berkata, tiada apa yang perlu dipanjangkan lagi berikutan dua selebriti berkenaan termasuk Datuk Rosyam Nor selaku moderator sudah bersalaman antara satu sama lain di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Semua sudah diselesaikan on the spot. Mereka sudah meminta maaf dan memaafkan antara satu sama lain. Semuanya happy ending. Orang yang tidak datang memanglah tidak nampak.

"Semasa kejadian itu saya duduk di belakang dan menenangkan Mat Over dan David Teo. Saya sejukkan hati  Mat Over dengan beri dia minum air sirap banyak-banyak, lepas tu saya pergi jumpa David yang ketika itu di tandas dan minta dia bersabar.


"David memang cara dia bercakap begitu, namun orang luar yang tidak rapat dengannya tidak tahu cara dia," ujarnya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Zed meminta kepada mana-mana penggiat seni yang tidak hadir pada majlis berkenaan agar tidak memberi sebarang pandangan yang mengeruhkan lagi keadaan.
Tambahnya, mereka tidak perlu menulis pandangan di laman-laman sosial berdasarkan video yang tersebar semata-mata.

"Saya minta artis yang tidak datang jangan komen sebab mereka tidak berada di tempat kejadian serta tidak tahu situasi sebenar yang berlaku.

"Perkara itu hanya mengeruhkan keadaan sahaja. Apa yang mereka tonton dalam video yang menjadi viral, mereka tidak tahu sepenuhnya yang terjadi pada malam itu," ujarnya.

Dalam pada itu, Zed menganggap kejadian berkenaan tidak sepatutnya berlaku dan dia berharap insiden tersebut dapat menjadi iktibar kepada semua penggiat seni pada masa akan datang.
"Saya tahu buat kerja saya, orang tak nampak apa saya lakukan pada malam itu.


"Saya pelik juga bila saya bising orang marah, bila saya sudah selesaikan senyap-senyap ada pula yang mahu dengar saya bersuara," ujarnya.