Ahad, April 23, 2017

Lawak Ammar Titan Hina Mendiang Bapa Watson Nyambek; Media Prima Mohon Maaf Secara Terbuka



Pihak Primeworks Studios tampil dengan permohonan maaf secara terbuka kepada Watson Nyambek pada Ahad selepas program terbitan produksi itu, Sukan Tak Sentral mempersendakan nama bapa bekas pelari pecut negara tersebut.

Ketua Pegawai Ekskutif Primeworks Studios Sdn Bhd, Ahmad Izham Omar dalam satu kenyataan memberitahu pihaknya kesal dengan kejadian itu dan amat menghormati Watson, bapa dan keluarganya.

"Selaku Ketua Pegawai Ekskutif, syarikat penerbitan rancangan Sukan Tak Sentral bagi pihak TV3 dan TV9 dengan rendah hati ingin memohon maaf kepada saudara Watson Nyambek gara-gara mempersendakan nama baik ayah beliau.

"Kejadian yang berlaku ini memberi pengajaran kepada kami untuk lebih peka dengan keadaan sekeliling.


"Kami amat menghormati Watson, bapa dan keluarganya. Beliau adalah seorang jaguh pecut negara serta atlet yang telah banyak berjasa mengharumkan nama negara," katanya.

Menerusi program yang disiarkan pada malam Sabtu, hos program itu, Ammar mempersendakan nama bapa Watson dengan menyamakan dengan bunyi seekor binatang.

Perkara itu turut mendapat reaksi Watson sendiri yang menonton program itu di Facebook miliknya selain melahirkan rasa kecewa dan tersinggung dengan perbuatan menghina bapanya yang telah meninggal dunia tiga tahun lalu.

Reaksi Watson itu turut mendapat reaksi daripada netizen dan isu itu mula menjadi hangat apabila video rakaman program itu mula tersebar di laman sosial.


"Orang hina saya miskin, bankrap, tak ada apa saya terima, nak ketawakan saya apa boleh buat,nasib kita macam tu,tapi bapa saya bukan binatang untuk dipersendakan.” tulis Watson dalam Facebooknya. - mStar Online