Jumaat, Mac 10, 2017

Ziana Rampas Telefon Pintar Jika Anak Lalai Gunakannya!



Anak Ziana Zain tidak berminat menggunakan aplikasi laman sosial, termasuk laman sembang WhatsApp dan Facebook, kerana majoriti permintaan untuk menjadi rakan mereka adalah golongan peminat penyanyi wanita itu, bukannya rakan sebaya mereka. 

Ziana berkata, anak sulungnya, Muhammad Aiman, 17, dan Muhammad Ammar, 13, masing-masing memberitahu mereka mereka enggan membuka akaun laman sosial kerana apabila terlalu ramai peminat dirinya yang membuat permintaan untuk menjadi rakan berbanding teman sendiri. 

"Saya sendiri tertawa mendengar perkara itu dan pada masa yang sama saya lega kerana mereka tidak terlalu leka dengan media sosial. 

"Mereka lebih gemar bermain permainan pada telefon pintar dan menggunakan peranti itu untuk mendengar lagu atau menonton rancangan kegemaran masing-masing," katanya kepada BH Online. Ziana berkata, sebagai ibu beliau sentiasa memantau aktiviti anaknya, termasuk dalam perkara berkaitan penggunaan teknologi terkini dalam memastikan ia tidak disalah guna.

Penyanyi lagu Syurga Di Hati Kita itu berkata, meskipun tidak menghalang, tetapi dirinya sentiasa menasihatkan supaya anak-anaknya menggunakan alat komunikasi berkenaan dengan berfaedah. 

"Kita tidak boleh halang kerana pada masa kini, ia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan, cuma setiap alatan berkenaan perlu digunakan dengan bijak. 

"Apapun bagi saya, pelajaran adalah perkara pertama. Kalau lalai, saya akan kenakan hukuman, termasuk merampas alatan komunikasi mereka," katanya. - Berita Harian Online