Ahad, Mac 26, 2017

Abby Abadi Hamil Sebulan; Mohon Doakan Yang Baik-Baik



Abby Abadi mengumumkan dia sedang hamil hasil perkahwinan terbaharunya dengan Muhammad Faizal Zakari. Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abd Manan, 40, berkata, pada mulanya risau untuk berkongsi berita gembira itu memandangkan usia kandungannya masih lagi baharu, namun mengambilnya sebagai perkara yang positif.

"Alhamdulillah, syukur. Banyak kali saya berfikir sama ada mahu berkongsi atau tidak kerana bimbang jika terjadi apa-apa kerana kandungan masih baharu. "Selepas berbincang dengan suami, kami bersedia berkongsi berita gembira ini. Saya tidak mahu berfikir yang negatif dan berharap keinginan untuk menimang cahaya mata menjadi kenyataan, insya-Allah," katanya.

"Saya mengharapkan doa orang ramai supaya dapat melalui tempoh hamil ini dalam keadaan sihat. Tidak mengapa jika lelaki atau perempuan, asalkan sihat walafiat. Dapat seorang pun Alhamdulillah, tetapi kalau dapat kembar dua atau tiga lagi okay.

"Apapun, doakan kandungan saya kali ini dapat melihat dunia. Sudah lama tidak 'membawa' perut, jadi saya mohon doa semua," katanya lagi.

Abby dan Faizal mendirikan rumah tangga pada 14 Ogos 2015. Abby pernah keguguran ketika menunaikan ibadah umrah bersama suaminya pada tahun lalu.

Terdahulu, Abby mendirikan rumah tangga dengan aktor, Norman Hakim dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 14, Marissa Dania Hakim, 12, dan Maria Danisha Hakim yang berusia sembilan tahun. Mereka bercerai pada tahun 2008.


Abby seterusnya bertemu jodoh dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 25, pada tahun 2013 sebelum bercerai selepas 11 bulan berumah tangga.