Isnin, Februari 06, 2017

TV3 Terkena Virus Astro, Asyik Siar Drama Ulang Tayang!



Sejak tahun 2015, TV3 telah menambah dua slot drama televisyen, iaitu Dahlia dan Iris menjadikan slot drama dalam saluran berkenaan bertambah banyak, dengan slot Akasia, Samarinda, Lestary, Aksi, Zehra, Azalea, Telenovela, Sinetron dan Cerekarama yang sedia ada.

Pada pertengahan tahun 2016, slot Azalea yang menampilkan drama Melayu pada jam 4 petang di saluran TV3 itu dipindahkan ke TV9 dan disiarkan enam hari seminggu pada jam 8.30 malam. Pertukaran slot ini juga sama sekali telah melenyapkan slot Ratu, di TV9 yang sebelumnya berkeudara secara tidak konsisten.

2016 juga menyaksikan TV3 mengambil keputusan untuk menggilirkan siaran drama untuk empat slot tayangan perdana, iaitu Aksi, Lestary, Samarinda, dan Zehra. Ini bermaksud hanya dua slot sahaja akan bersiaran serentak, dan digantikan dengan drama baharu mewakili slot yang lain.

Apa yang paling jelas sejak 2016 hingga awal 2017 ialah, kekerapan TV3 mengulang semula tayangan drama di slot Iris, Dahlia dan Telenovela. Bhakan tempoh waktu siaran ulangan drama berkenaan itu pula tidaklah terlalu lama berbanding siaran pertama kalinya.

Misalnya, drama Abang Sado Jemur Kain (Iris), Carmela (Telenovela), dan Eksperimen Cinta (Dahlia) merupakan drama ulang tayang. Sebelum ini pun memang jelas banyak drama dan telenovela yang diulang tayang dalam slot-slot berkenaan.

Nak dikatakan atas permintaan ramai, terasa janggal. Yalah, drama seperti Abang Sado Jemur Kain tidak mendapat sambutan yang luar biasa pun. Jadi apa sebenarnya terjadi? Tak ada drama baharu? Tak ada bajet untuk produk baharu? Atau apa sebenarnya yang terjadi?

Hah, persoalan ini hanya orang yang bekerja dengan TV3 saja yang ada jawapannya. Sebagai penonton setia saluran TV3, harapnya stesen berkenaan peka dengan situasi ini dan sentiasa tampil dengan pengisian yang segar agar kredibitinya sebagai stesen nombor satu negara tidak tercalar. Cukuplah Astro saja yang memagang gelaran Raja Ulang Tayang, tak perlulah TV3 mengikutinya!