Rabu, Februari 01, 2017

Suka Karya Berat; Ziana Zain Tak Kisah Lakon Watak Ibu, Asalkan Berbaloi!



Bakal menginjak usia 49 tahun pada 2 Mei ini, figura bernama Siti Roziana Zain atau mesra di sapa dalam dunia glamor sebagai Ziana Zain, langsung tidak menunjukkan tanda untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni yang diceburi sekian lama dan sebati dalam jiwanya itu.

Selepas melewati penghijrahan dengan tampil berhijab beberapa tahun dahulu, kini Ziana Zain semakin giat mempromosikan seleksi tudung keluaranya sendiri atas label Ziana Zain's World. Begitupun, kesibukan Ziana dalam berniaga tidaklah bermaksud langkahnya dalam karier seni akan semakin terbatas. 

"Saya melihat pencapaian dan kejayaan beberapa rakan artis yang terbabit dalam dunia perniagaan sebagai inspirasi untuk sama-sama terjun ke bidang ini. Bukan bererti saya akan melupakan bidang seni tidak lama lagi, sebaliknya sebagai artis saya perlu mempunyai sumber pendapatan lain bagi meneruskan kelangsungan hidup."

"Bidang lakonan juga akan tetap saya teruskan, tetapi hanya memilih naskhah yang dirasakan sesuai dan berbaloi. Saya pula lebih sukakan telefilem dan filem berbanding drama kerana masanya tidak terlalu terikat.

Saya juga cenderung kepada karya berat kerana ia ada pengisian dan lebih memberikan kepuasan. Andai ditawarkan watak sebagai ibu pun, saya tidak kisah, asalkan karya terbabit berbaloi dan memenuhi citarasa saya," katanya yang sukakan karya Rashid Sibir, Sheila Rusly dan Erma Fatima.