Khamis, Februari 16, 2017

Pokok Bunga Tertinggi Di Dunia & Berbau Bangkai Ke Malaysia!




Taman Botani Negara di Bukit Cherakah di sini, bakal menerima anak pokok bunga tertinggi di dunia, Titan Arum (Amorphophallus titanum) tidak lama lagi.


Pengarah Mohamad A'sim Md Ali, berkata bunga itu akan menjadi antara tarikan utama selain Rumah Iklim Empat Musim yang hanya ada di Taman Botani Negara.


"Setakat ini, sebanyak tiga anak pokok sudah kita semai dan ditanam sementara di bawah jagaan Bahagian Biosekuriti Jabatan Pertanian Malaysia di Serdang, "Bagaimanapun, kita jangka tumbuhan ini akan dibawa ke Taman Botani Negara sekitar Jun tahun ini bergantung kepada keadaan semasa tumbuhan itu," katanya.

Tumbuhan yang berasal dari hutan Khatulistiwa di Sumatera, Indonesia ini sangat unik kerana mempunyai saiz yang besar dan mampu mencecah ketinggian melebihi sembilan meter dan mempunyai berat 116 kilogram.

Sementara itu, Kisroh, berkata Titan Arum ataupun nama saintifiknya Amorphophallus titanum, adalah tumbuhan yang unik dan istimewa kerana ia tidak berdahan dan mempunyai bau yang busuk.

"Tumbuhan ini sangat unik kerana ia seolah-olah berdiri dengan sendiri selain mengeluarkan bau seperti bau bangkai.

"Bagaimanapun, bau ini tidak selalu dapat dihidu kerana kebiasaannya tumbuhan ini hanya mengeluarkan bau antara jam lima hingga tujuh petang," katanya. - Berita Harian