Selasa, Februari 07, 2017

Irwansyah Mahu Bawa Isteri Jalani Rawatan Kesuburan Di Pulau Pinang



Pelakon Indonesia, Irwansyah, 31, merancang membawa isterinya, Zaskia Sungkar, 26, menjalani rawatan kesuburan di Pulau Pinang pada hujung Mac depan. Irwansyah, yang sedang menjalani penggambaran drama 60 episod berjudul Dia bersama produksi tempatan, membuat keputusan untuk meminta bantuan pakar setelah enam tahun mendirikan rumah tangga. 

"Selesai tamat penggambaran, saya merancang untuk ke sebuah pusat pakar perubatan di Pulau Pinang bagi menjalani rawatan kesuburan setelah mendapat cadangan daripada kenalan artis di Indonesia. "Rata-rata kenalan yang mendapat bantuan pakar di sana berjaya (mendapatkan zuriat). Ia antara ikhtiar kami setelah enam tahun berkahwin, namun bukanlah kerana desakan mana-mana pihak.

"Saya terbuka untuk bercerita mengenai perkara ini kerana tidak menganggap ia sebagai sesuatu yang mengaibkan. Tidak salah rasanya untuk dikongsi bersama," katanya kepada BH Online ketika ditemui di lokasi penggambaran drama terbabit di sini, hari ini.