Selasa, Februari 21, 2017

Blurb Preview; Survey Calon Jodoh



Musim cuti sekolah bermula. Maknanya bermulalah misi mak yang memaksanya menghadiri majlis kenduri kahwin. Tapi sekarang tak tunggu cuti sekolah pun banyak kenduri. Apa orang Malaysia ni kerja dia kahwin je ke? Tak tak ada benda lain ke yang lebih menarik.

Okay. Istighfar Nad. Istighfar. Buat tambah dosa je nak merungut padahal orang kahwin tu untuk membina masjid. Merama
ikan umat nabi. Menyempurnakan separuh dari iman.

“Nad... tak siap lagi?” abah yang sudah siap mengenakan baju batik itu membuang pandang ke arah Nadrah.

“Hmm....”

“Jangan mengada-ngada tak nak pergi.” Laju je Encik Ismail membidas. Anak sulungnya ini bukan boleh kira! Ikut kepala dia sahaja. Kahwin sepupu sendiri pun tak nak pergi ke? Apa pulak cakap saudara maranya nanti. Padahal suruh pergi makan je pun. Kerja-kerja kenduri semua dah diupah orang.

“Siapa cakap tak nak pergi. Nad nak iron bajulah ni.” Kalau arahan mandatori dah keluar tu, tak mampu lagi untuk memberi sebarang alasan. 

“Baru nak iron baju? Dah mandi ke belum ni?”
“Erk.. belum.” Muka tak bersalah ditayang.

Berisighfar panjang Encik Ismail dibuatnya. Kalau masih kecil, boleh juga dicubit-cubit atau ditarik telinga. Tapi ini sudah besar panjang.

“Lambat sangat abah tinggal Nad.”

Kena tinggal lagi dia suka! Agaknya kalau jawab macam ni harus kena tempeleng.

“Tak apalah, abah dengan mak pergi dulu. Nanti Nad pergi dengan adik.” Pergi dengan adik cepat sikit dapat balik nanti. Malaslah dia nak tunggu sampai petang. Lagipun kenduri guna katering, bukan ada benda nak tolong pun.

“Jangan nak mengada-ngada!” Bantah Encik Ismail.

Terdengar tawa senang hati di belakangnya. Tak lain tak bukan si Naufal. Sukalah tuh dengar dia kena marah dengan abah!

Menonong dia ke bilik air dan mandi ala kadar sebelum menyarungkan baju kurung kain cotton yang tak perlu digosok. Selendang dililit ke kepala. Abah, mak dan adik sudah menunggunya di dalam kereta. Macam tak percaya pun ada sebab dia mengambil masa tak sampai sepuluh minit!

“Akhirnya siap pun tuan puteri kita,” sakat Naufal.
“Diamlah!” Makin sakit hati Nadrah mendengar Naufal ketawa.
“Nad, muka tu janganlah ketat sangat...” Pujuk Puan Melati. Nak ajak pergi kenduri kahwin pun, macam nak suruh pergi berperang!
“Entah. Nak playar tak supaya dapat longgarkan sikit skru-skru wajah Kak Nad tuh!” Sampuk Naufal.
“Siapa ajar kau nak longgarkan skru guna playar hah?”
“Untuk barang luar biasa, kenalah guna alat yang luar biasa jugak!”

Ciss.. ada je benda yang dia nak bahankan. Kalau layan budak ni, boleh mental Nadrah jadinya. Mak dan abah hanya mampu menggeleng. Penangan si sulung dan bongsu. Sikit sebanyak gaduh-gaduh dua beradik ni mampu jugak buat hilang sunyi rumah mereka.

Sampai sahaja di kenduri, mereka terus menjamu selera. Ayah dan emak sudah menghilang berjumpa sanak saudaranya yang lain. Mujur ada Naufal, tak adalah dia sendirian dalam keriuhan orang ramai.
Bosan mengadap muka Naufal yang sibuk dengan telefonnya, Nadrah keluarkan puisi Langit Vanilla nukilan Wani Ardy dari beg tangannya.

“Start dah..”
“What?”
“Your-anti-social-mood.”
“Mana ada akak anti sosial. Akak membaca je. Salah ke?”

Naufal juling mata ke atas. “Salah tu tidaklah. Tapi kalau dah memanjang membaca sampai tak hirau sekeliling, itu dah jadi masalah kak. Anti-social! Sangat tak bagus untuk tumbesaran mental akak.”

Laju Nadrah mencebik. “Habis tu kalau duduk semeja tapi mata masing-masing ralit dengan phone, itu satu simpton kesihatan yang baik ke? Itu lagilah budaya tak sihat okay. At least, membaca akan luaskan ilmu kita.”

Pelik tapi benar betullah. Akak dia ni kalau bercakap dengan dia, kemain hujah panjang berjela. Cuba kalau ada orang lain, jeling bin juling jelah dia pandai. Tak pun senyum tak bergula yang tak ada cop sirim je dia bagi.

“Dah lah adik nak jumpa Abang Adlee jap. Penat jadi bodyguard akak tak berbayar nih.”
“Kalau tak jumpa abang dua pupu kau tu tak boleh ke?”

“Dah tu, cukuplah akak sorang je anti sosial. Jangan nak libatkan adik join kelab akak ya!” Kadang Naufal sendiri tak faham dengan akak sulungnya ini. Hidupnya memang hanya di rumah dan di tempat kerja.

Tak pernah dia tengok si kakak keluar dengan kawan-kawan. Kalau keluar pun dengan dia, mak dan ayah atau ahli keluarga mereka sahaja. Dengan sepupu pun tak bercampur gaul. Tak bosan ke hidup macam gitu? Tak kenal dunia luar langsung? Self confident kurang ke apa? Tapi kalau self confident kurang, tak kan boleh jadi PA kesayangan Dato Fahmi.

Naufal pun dah penat nak meneka. Kadang-kadang tu, kakak dia ada dekat rumah pun dia tak sedar. Sibuk kelek buku sahaja. Patutnya pergilah belajar sampai PHD. Ini tak, degree pun tak nak habiskan. Pelik jugak orang bijak tiba-tiba ada sindrom malas nak study.

Baru je Naufal nak bangun tapi niatnya terbantut apabila menangkap kelibat orang yang menghampiri meja mereka.
“Eh Nad, lama tak nampak?” Tegur Mak long ramah. Dibelakangnya ada Adlee yang rajin tersenyum.
“Mak long sihat?” Tanya Nadrah cuba beramah mesra sambil bersalam dengan ibu Adlee itu.
“Sihat. Sibuk sangat ya sampai nak jumpa anak saudara sendiri pun jenuh!”

Nadrah senyum tawar. Dah biasa berkelambu dalam rumah buat dia canggung nak beramah mesra dengan orang! Adlee dah mendapatkan duduk di sebelah Naufal. Dah panjang topik berbualan. Kejap futsal. Kejap bola. Kejap badminton. Mak long yang duduk di sebelah pun, dia tak tahu nak berbual apa. Buku puisi tadi dimasukkan semula ke dalam beg tangan.

“Nad bila pulak?”
Kali ini Nadrah senyum pahit. Dah agak soalan ni akan muncul. Dia dah sumbat peluru-peluru jawapan yang klise.

“Tak ada rezeki lagi mak long,” jodoh ni pun rezeki. Rezeki yang bukan boleh petik dari tangan manusia. Bukan boleh tarik ikut dan macam nak pilih baju. Bukan hari ni order dari tuhan, esok-esok terus muncul.

“Hmm.. dah ada ke calon-calon tu?”
“Tengah survey.”

“Hah.. kalau kak long ada calon yang sesuai, bagi tahu kat kami ya..” Entah dari mana Puan Melati muncul. Terus menepuk bahu anak perempuannya.

Okay mak tengah promote anak dara dia yang tak laku ni hah.
“Adlee tu pun single lagi tuh...”

Dah sudah. Kaunter nak kenen-kenen kan pasangan dah dibukak! Riuh rendah meja dibuatnya.
“Mama...” Adlee tarik muka. Nadrah tu sikit punya pendiam. Kalau nak kenen dengan dia yang tak banyak cakap jugak ni, anak dia orang boleh jadi bisu.

Nadrah gigit organ mulutnya. Apa ke hal si Adlee ni buat perangai macam stok anak dara ni? Tahulah pemalu tapi tak payah lah gegirl sangat. Adlee ni pun hanya banyak cakap dengan dan berbual dengan Naufal sahaja. Lagipun Nadrah tak mahulah kahwin saudara mara nih. Ada masalah nanti susah. Lagipun apa barang kahwin sepupu. Bila nak berkembang keluarga mereka?

Tapi kalau macam gini je resepi hidup dia, pun tak berkembang jugak kan? Hailah jodoh, kalau ya pun aku survey kau, adakah hati aku ni cukup bersedia?