Rabu, Februari 22, 2017

Blurb Preview; Miliki Aku Sejujurnya



“Dia memang suka datang sini ke?” tebakku.
Huzair menggaru belakang tengkuknya. Dia angguk.

“Oh...” Hanya itu yang termampu aku zahirkan selepas melihat reaksi balas Huzair.
Selalu, maknanya Saidatul itu memang selalu masuk ke dalam rumah mengejut macam itu? Kalau Huzair tengah tidur, mesti dia terkam terus lelaki ini. Aku jeling Huzair seketika. Senyuman nipis bergaris di bibirnya.

“Dia memang selalu datang. Tapi bukan macam tadi. Datang dengan ibu dia. Sebelum kita kahwin, sebelum Syifah kenal dengan Eizul lagi. Dia memang selalu berjalan ke sini. Alasannya hendak ke kolam ikan tetapi selalu melencong ke sini.” Huzair gelak kecil.

Boleh tahan juga penangan Huzair ini sampai Saidatul tergila-gilakan dia. Apa yang hebatnya seorang lelaki bernama Huzair ini? Aku pandang Huzair dari bawah hingga ke atas. Mengintai jika ada apa-apa yang dapat menarik minatku. Ternyata tiada ataupun aku yang buta melihat aura Huzair selama ini.

“Buat apa tu?” tegur Huzair.
Aku geleng laju.
“Mana ada buat apa?” Aku alih pandangan wajah.

Tuala yang membalut rambutku segera aku gantung pada batang leher. Aku buat regangan badan seketika.

“Mengintai aku?”
Aku bulatkan mata.

“Intai apa? Mana ada.” Aku pertahankan diri.
“Tadi.” Huzair rapatkan tubuhnya pada badanku.

Perlahan-lahan aku mengengsot ke belakang. Apabila lengannya mengepung kiri dan kananku. Aku cepat-cepat menolak tubuh Huzair. Dia terduduk di sebelahku semula. Aku bingkas bangun. Bermacam-macam perkara sedang bermain di fikiranku sekarang.

“Aku nak bagi Syifah intai lebih dekat. Mana tahu nampak apa-apa ke...”