Sabtu, Februari 18, 2017

Bas JDT Disimbah Cat Di Ipoh; Liga Super 2017 JDT Menentang Perak



Dua bas milik pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) yang ditempatkan di kawasan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 5, Sungai Senam di sini disimbah cat awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 pagi itu, seorang anggota polis melakukan rondaan di sekitar kawasan berkenaan terdengar bunyi di tempat meletak kedua-dua bas itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bas itu telah dibaling dengan cat di bahagian belakang kenderaan itu.

Polis turut menemukan beg plastik yang telah pecah mengandungi cat di atas tanah di bahagian belakang bas tersebut," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Sum berkata hasil siasatan mendapati suspek membaling cat ke arah bas dari luar pagar pada jarak kira-kira 25 hingga 30 meter.

Menurutnya identiti kedua-dua suspek yang melakukan perbuatan itu masih belum dapat dikenal pasti dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.


JDT berada di Ipoh untuk aksi bola sepak Liga Super menentang Perak di Stadium Perak di sini malam Sabtu. - mStar Online