Selasa, Januari 31, 2017

Suami Mahu Ziana Zain Berhenti Menyanyi?!



Penyanyi bersuara lantang yang terkenal dengan lagu bernada tinggi, Ziana Zain meskipun sudah lama benar tidak tampil dengan lagu baharu, namun namanya tidak pernah pudar daripda industri hiburan tanah air. Lagu-lagu dendangannya malar segar dan diminati sehingga kini oleh pelbagai golongan dan peringkat usia.

Meskipun, jarang menghiasi dada akhbar, majalah mahupun muncul di kaca televisyen, ini tidak bermakna Ziana Zain sudah tidak aktif dalam dunia hiburan. Undangan persembahan buat ibu kepada empat orang cahaya mata ini masih lagi kencang.

Dalam pada itu Ziana Zain juga kini sibuk dengan perniagaan tudung di bawah label Ziana Zain's World.

Bercakap kepada Berita Harian, Ziana Zain berkongsi khabar bahawa dirinya masih belum bersedia mengucapkan selamat tinggal kepada industri seni yang sekian lama menjadi darah dagingnya. Biarpun suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri pernah meluahkan keinginan untuk melihat Ziana berhenti daripada menyanyi dan menumpukan kepada perniagaan tudung, bintang berusia 49 tahun ini sebaliknya akan tetap meneruskan kerjaya yang sekian lama mempopularkan namanya itu.

"Bidang seni sudah menjadi darah daging saya, dan selagi ada permintaan untuk saya berada di sini, tidak mungkin saya meninggalkannya. Selagi saya terdaya dan memiliki kudrat saya akan teruskan bidang seni," katanya.