Ahad, Januari 15, 2017

Dayang Akan Dedikasikan Lelaki Teragung Buat Arwah Tok Nan Di pentas AJL31



'Lelaki Teragung' dendangan Dayang Nurfaizah antara 12 lagu yang layak ke pertandingan AJL31 yang bakal berlangsung pada 22 Januari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Dayang Nurfaizah berkata beliau menyedari harapan tinggi rakyat bumi Kenyalang agar dendangan lagu itu nanti turut dibuat secara 'tribute' kepada Adenan, bagaimanapun berkata sukar untuk mengubah konsep persembahan memandangkan semua perancangan sudah dibuat sejak sebulan lalu.

"Saya akan dedikasikan persembahan serta hati saya pada Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL 31) nanti kepada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem" demikian kata penyanyi kelahiran Sarawak Dayang Nurfaizah.

"Persiapan semua sudah siap, minggu depan tinggal latihan bersama kumpulan orkestra dan juga kumpulan muzik (band) di venue pertandingan (PWTC). Jika konsep persembahan ditukar pelbagai perkara perlu diambil kira kerana perlu melibatkan ramai pihak juga.


"Biarpun konsep persembahan tidak ditukar saya akan dedikasikan persembahan serta hati saya nanti kepada Tok Nan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.