Isnin, Disember 19, 2016

Belum Terima Baki Bayaran Konsert High Note; Ziana Zain Mahu Lebih Berhati-Hati Percaya Kawan!



Kelam-kabut dan kekecohan pada malam pertama Konsert High Note 2016 yang berlangsung hujung November lalu barangkali masih tergambar dalam layar ingatan penonton yang hadir di Istana Budaya. Namun, di sebalik kekurangan penganjur dalam memastikan konsert gabungan tiga nama besar itu terubat dengan persembahan mantap daripada Ziana Zain, Azlan dan Jaclyn Victor.

Begitupun, biar setengah bulan ditinggalkan daripada konsert yang digelar paling buruk pernah dijayakan dalam sejarah karier, Ziana Zain mendedahkan bahawa masih belum menerima baki bayaran daripada penganjur.

 "Semua orang masih lagi menunggu setengah daripada bayaran dari pihak penganjur. Jadi tunggu sahajalah,” katanya ketika ditemui ProjekMMO baru-baru ini.

"Kita sudah bagi tempoh dan mereka kata hendak selesaikan. Adalah tempoh yang tertera dan sekarang mereka patut tahu kerana melibatkan ramai orang.”

Walau bagaimanapun, pelakon filem Sembilu itu enggan mengulas lanjut mengenai tindakan susulan jika penganjur masih lagi gagal melunaskan baki bayaran tertunggak.

ProjekMMO difahamkan penganjur sepatutnya menyelesaikan bayaran penuh 10 hari sebelum konsert namun ditangguhkan atas alasan masih mendapatkan penaja. Pengurusan Ziana kemudiannya memberi tempoh sehingga 15 Disember, namun masih lagi tiada perkembangan positif.

Kesal kerana terpalit dengan masalah tersebut, Ziana mahu lebih berhati-hati memilih tawaran pada masa akan datang.

"Saya memang manusia yang berhati-hati tetapi apabila kita mengenangkan kawan kita, kita terima. Lain kali, kena hati-hatilah.


"Susah jadi artis ini, kadang kala kata kita ini cerewet sangat, banyak songeh. Sebenarnya kita perlu ikut prosedur, kalau ikut semuanya akan berjalan lancar,” katanya lagi. - The Malay Mail Online