Ahad, November 06, 2016

Konsert Minggu Ke-4 Gegar Vaganza 2016; Mampukah Elly Mazlein Selamatkan Diri?



Gegar Vaganza 2016 meneruskan lagi langkahnya untuk minggu keempat. Setelah 3 minggu berlalu dan dua peserta lelaki tersingkir, nasib siapa pula akan menjadi kurang baik sekali gus mengikut jejak langkah Razis Ismail dan Rem?

Apa yang pasti untuk minggu keempat ini, peserta Gegar Vaganza 3 tidak akan tampil berseorangan sebaliknya bakal berduet dengan bekas peserta Gegar Vaganza musim terdahulu. Lebih menarik bekas juara dan finalis Gegar Vaganza Musim 1 dan 2 juga akan turun padang beradu vokal malam konsert nanti.

Risikonya berduet adalah perbandingan. Ya, khalayak apatah lagi juri akan membuat perbandingan vokal, energy, feel, dan perfomance kedua-dua figura yang berada atas satu pentas yang sama dalam masa yang serentak!

Lalu, siapa yang bakal bersinar, dan siapa pula yang akan tenggelam? Risikonya tentu sahaja boleh diramal kepada peserta Gegar Vaganza 3 yang tidak konsisten dan gagal menempatkan diri dalam kelompok 5 terbaik dalam tempoh 3 minggu awal pertarungan ini!

Paling dikhuatiri adalah Elly Mazlein yang kondisi kesihatannya berlarutan tidak sihat. Apakah Elly Mazlein mampu mencipta kejutan dengan persembahan duetnya pada malam ini bersama Acong dengan lagu Jangan Menangis Sayang?

Atau apakah peminat dan penyokong Elly Mazlein yang akan menangis andai kata Elly Mazlein disingkirkan malam ini daripada Gegar Vaganza 3? Segalanya akan terjawab, dalam satu realiti yang bermula di sini, bintang kembali bersinar, Gegar Vaganza 3!