Khamis, Oktober 27, 2016

Umar Uzair Imbau Memori Karya Allahyarham Loloq



Menggerakkan langkah dalam dunia kesenimanan dalam area perpuisian, persembahan dan muzik sejak 2010, akhirnya penyair dan penyanyi Umar Uzair melahirkan sebuah album sulung, Pintalah Aku Ke Sana yang telah menemui pendukung seni penulisan dan muzik pada April lalu. Mendapat respon yang positif dari pendengar, Uzair memacukan langkahnya dengan kehadiran muzik video bagi mempromosikan single dari judul yang sama.

“Pintalah Aku Ke Sana asalnya merupakan sebuah dua buah puisi yang terangkum dalam Kumpulan Puisi – Pesta Di Padang Jiwa terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (2015), kemudiannya dipilih untuk dijadikan sebagai sebuah lagu kerana puisinya yang mempesona dan nilai estetikanya yang murni. Ia sebagai satu cara saya mendidik masyarakat dalam penulisan dan mengembalikan kenangan terhadap lagu-lagu yang indah yang pernah dihasilkan oleh arwah Loloq.”

Berentak soul pop, Pintalah Aku Ke Sana menceritakan tentang permintaan seseorang kepada kekasihnya supaya mereka selalu bertemu dan jangan berpisah lama. Dimulakan dengan pemberitahuan kisah-kisah kenangan dan kata-kata perilaku kekasih kepada dirinya, naratif Pintalah Aku Ke Sana kemudiannya disulam dengan metafora demi metafora keinginan pertemuan mereka. Seperti metafora tersebut, konsep itu terbawa ke dalam muzik video dengan menampilkan seni silat Melayu sebagai perlambangan kemahuannya bertemu dengan kekasih meski di alam halus.

Selain Pintalah Aku Ke Sana, turut termuat dalam album Penyair Muda ASEAN 2015 dari pihak Jogjakarta ini ialah Miliki Kau dan Yang Aku Mahu. Kesemuanya ialah cakupan dari kumpulan puisi yang sebelum ini telah menerbangkannya ke Kyrgyzstan sebagai mewakili Malaysia dalam Festival Seniman Epik Dunia 2015 dan wakil belia Malaysia pada Forum Belia Dunia 2015 di Moskow.

“Semoga keberlangsungan saya dalam industri seni akan dapat diterima ramai dengan kehadiran muzik dan lagu ini.”

Terbaharu sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2016, Uzair telah menghasilkan muzik syair fusion yang mulai dipersembahkan dalam banyak acara. Selain persembahan di dalam negara, Uzair sedang merencana sebuah pertemuan penyair belia Asean yang akan disatukan dalam sebuah konsert Puitika Pujangga ASEAN 2017 pada tahun hadapan. Perkembangan seni penulisan dan muzik Umar Uzair juga boleh diikuti di Instagram @SiUmarUzair atau www.siumaruzair.wix.com/umaruzair.
Muzik video Pintalah Aku Ke Sana boleh ditonton di pautan bawah!