Ahad, Oktober 30, 2016

Review Konsert Minggu Ke-3 Gegar Vaganza 3; Zarul Umbrella Tunjuk Taring!


Minggu Ketiga Gegar Vaganza Musim Ke-3 memang agak mencabar genre lagu yang diberikan kepada para peserta Gegar Vaganza yang tinggal 11 orang. Masing-masing mendapat lagu yang bukan genre kebiasaan yang dibawa oleh mereka.



Ameng Spring dengan lagu Lelaki Seperti Aku dendangan asal Alif Satar. Lagu catchy dan berentak jiwa muda ini dibawakan dengan agak baik oleh Ameng, Cuma sedikit teguran diberikan Datuk Ramli MS pada hujung persembahan Ameng Spring.

Intan Sarafina tampil ghothik dengan gaya rock membawakan lagu Penantian, lagu kegemaran suaminya itu disampaikan agak baik oleh Intan Sarafina, dan genre lagu ini diklasifikasikan sebagai suatu genre yang sesuai dengan comeback Intan Sarafina. Bagaimanapun, bagi sebuah pertandingan masih ada teguran yang diberikan kepada Intan Sarafina oleh Datuk Khaty.

Gmie tampil dengan lagu asli Seni Berzaman. Meski gaya tarian Gmie agak kaku, namun lenggok suara Gmie sangat kena dengan lagu rentas irama Malaysia ini, perkara ini diakui sendiri oleh Datuk DJ Dave. Cuma arah pandangan Gmie yang tertumpu sebelah atas sahaja yang ditegur oleh beliau.

Zur Eda menyanyikan lagu Karma daripada Kumpulan Coklat. Lagu berentak lain daripada lain ini dibawakan penuh bertenaga oleh Zur Eda. Datuk Ramli MS menyifatkan lagu ini agak sukar dibawakan dan dihayati, bagaimanapun, pujian diberikan kepada Zur Eda atas energy yang diberikan dalam persembahan lagu ini.

Shidi Data diberikan lagu berentak dangdut, Mengapa Dikenang Mengapa Difikir. Datuk Khaty menyifatkan suara Shidi bertambah mantap dari minggu ke minggu. Malah, pujian juga diberikan kepada persembahan Shidi yang disifatkan dibawa dengan jaya.

Lagu Sudah Ku Tahu diamanahkan kepada Nora. Lagu yang popular dan mesra radio pada masa kini memang menjadi perhatian. Nora membawakan Sudah Ku Tahu dengan gayanya tersendiri. Gamat stadium dibuatnya. Datuk DJ Dave memberikan komen bahawa Nora mempunyai high note yang cukup baik tetapi perlu berikan sedikit perhatian untuk low note, dan Nora dikatakan sudah berada pada tahap 95% terbaik.

Penawar Rindu memberikan impak negatif secara total kepada Rem. Ternyata kegagalan membawakan tugasan lagu pada minggu lepas berlarutan apabila Datuk Ramli MS menyifatkan pembawaan Penawar Rindu tidak berjaya sepenuhnya ekoran perbezaan genre yang ketara dan kegagalan Rem membawakan lagu tersebut dalam irama asal tanpa pengubahsuaian.

Azharina muncul berwarna-warni dengan lagu No Women No Cry. Datuk Khaty memberikan pujian langit kepada persembahan Azharina sehinggakan menyifatkan penyanyi lagu Elegi Sepi ini mampu membawakan konsert berdurasi 2 jam dengan jayanya. Kritikan penambahbaikan diberikan pada sebutan dalam Bahasa Inggeris dan trademark Azharina yang diulang tiga minggu yang ditegur Datuk Ramli untuk elakkan klise dalam persembahan.

Joget Sayang Disayang nyanyian asal Anita Sarawak dibawakan dengan cukup meriah oleh Siti Sarah. Penuh ceria dan tampil yakin persembahan Siti Sarah turtu dibantu oleh suaminya Shuib. Datuk DJ Dave menyifatkan aura yang diberikan Siti Sarah dalam lagu Joget Sayang Disayang lebih hebat daripada Anita Sarawak.

Zarul Umbrella tampil dengan genre fast rock dengan lagu Generasiku. Datuk Ramli menyebut ‘WOW’ sesudah persembahan Zarul. Datuk Ramli menyukai attitude yang diberikan Zarul dalam lagu Generasiku yang disifatkan sebagai sebuah lagu yang mengandungi lirik yang agak mengelirukan. Keseluruhannya persembahan Zarul disifatkan terbaik oleh Datuk Ramli, sesuatu yang jarang didengar daripada pengkritik tetap ini.


Elly Mazlein menjadi peserta terakhir malam ini menyampaikan lagu  Perawan Atau Janda. Lupa lirik dan nyanyi salah tempat merupakan satu kesalahan ketara daripada Elly Mazlein menurut Datuk Ramli. Manakala, Datuk Khaty pula menyifatkan kesalahan yang dilakukan penyanyi profesional di atas pentas pertandingan adalah sesuatu yang tidak seharusnya dilakukan.