Ahad, Oktober 09, 2016

Nora Tak Layak Masuk Gegar Vaganza Musim 3?



Sejujurnya, nama Nora bukanlah satu nama kecil dalam industri seni suara tanah air. Era 90-an dahulu, lagu-lagu Nora begitu dikenali. Malah sehingga kini lagu dendangan Nora seperti Dipersimpangan Dilema, Hanya Satu, Menyemai Cinta Bersamamu, Sesuci Kelopak Mawar, Desa Tercinta dan Samudera merupakan antara beberapa lagu dendangan asal penyanyi Nora yang cukup popular.

Tidak muncul di depan akhbar dengan sebarang berita, dan tidak menghiasi kulit hadapan mana-mana majalah hiburan tempatan bukanlah bererti karier seni seseorang penyanyi sudah berakhir. Seminggu ini, nama Nora kembali meniti pada bibir peminat, pemerhati dan pengkritik dunia seni tanah air.

Nora merupakan antara salah seorang penyanyi senior yang akan berentap bersama 11 orang penyanyi profesional lain dalam pertandingan nyanyian realiti nombor satu negara ketika ini, iaitu Gegar Vaganza Musim Ke-3. 

Gegar Vaganza yang dikemudi acara oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse merupakan antara rancangan paling popular dan mendapat perhatian luar biasa daripada peminat dan penonton. Malah, pengikut instagram peserta program realiti nyanyian Gegar Vaganza ini juga naik mendadak selepas seseorang penyanyi itu memilih untuk bertanding dalam pertarungan vokal dan bakat ini.

Persoalannya layakkah Nora menyertai Gegar Vaganza Musim Ke-3 ini? Jika dahulu, Gegar Vaganza Musim Pertama lebih dikenali dengan penyanyi yang meletop dengan satu dua lagu sebelum namanya tenggelam dan pudar, Namun, dalam Gegar Vaganza Musim Kedua, sudah ada penyanyi yang masih 'hidup' dalam industri meski bukan berada di puncak.

Keterlibatan Nora dalam Gegar Vaganza musim baharu ini secara tidak langsung menerbitkan pelbagai spekulasi. Nora antara penyanyi senior yang berada dalam kelasnya tersendiri. Nora tidak perlu lagi membuktikan keampuhan vokalnya lantaran kredibiliti dirinya sudahpun terbukti. 

Kejayaan yang diraih dalam anugerah berprestij, setidaknya tercalon sebagai finalis dalam anugerah ternama seperti Anugerah Industri Muzik merupakan fakta bahawa Nora bukan sekadar seorang penyanyi biasa.

Makanya, ramai bimbang, andai kata Nora tersingkir awal. Atau andaikata komen juri terlalu bisa buat dirinya. Atau netizen menyerang dirinya dengan kritik yang pedas, saat Gegar Vaganza Musim Ke-3 bermula, Andai kata semua ini terjadi, apakah Nora dan peminat setianya mampu menerima?

Yang pasti, kita tidak boleh mengundurkan waktu. Menghadirkan Nora yang dahulu barangkali mungkin tidak mustahil tetapi mahu copy paste Nora era dahulu ke pentas live Gegar Vaganza Musim Ketiga mungkin sukar sedikit. Almaklumlah, faktor usia, status diri sebagai ibu dan sebagainya perlu juga diambil kira.

Namun, ini bukanlah bererti menafikan keupayaan Nora dalam melakukan yang terbaik dalam Gegar Vaganza Musim Ketiga. Apapun, tahniah kepada Nora kerana berani menyahut cabaran, dan buat peminat dan netizen nilailah dengan logik dan waras, jangan dahulukan emosi, kritik dengan hemah, positif selalu dan tentunya tingkatkan prestasi dan kurangkan kontroversi!