Khamis, September 29, 2016

Heboh Video Rebut Anak; Emilia Hanafi Pula Beri Penjelasan!


Kalau semalam Muz ada kongsikan luahan rasa SM Faisal Nasimuddin berkenaan isu perebutan anak di luar kamar mahkamah syariah dengan bekas isterinya, hari ini Muz kena juga kongsi kenyataan Emilia Hanafi, iaitu bekas isteri SM Faisal Nasimuddin yang juga ibu kepada tiga orang cahaya mata lelaki mereka, iaitu Fawwaz, Faiz dan Farhan. Tulisan panjang lebar di bawah ini dikongsikan Emilia Hanafi dalam akaun laman sosial Instagram beliau.



Salam, baru-baru ini suatu video kejadian di mahkamah syariah yang melibatkan saya, bekas suami dan anak saya telah menjadi viral. Di sini saya ingin meluahkan hati saya sebagai seorang ibu berkenaan dengan insiden tersebut dan tergerak hati untuk memberikan sedikit penjelasan berkenaan dengan kejadian yang berlaku pada masa itu.

Pada 20.9.2016, saya bersama ketiga-tiga anak saya iaitu Fawwaz, Faiz dan Farhan dan juga ahli-ahli keluarga yang lain telah menghadiri mahkamah syariah berkenaan dengan suatu prosiding yang dibawa terhadap saya.

Atas arahan mahkamah, saya membawa anak-anak saya ke mahkamah pada setiap kali. Sebagai ibu, mahkamah bukanlah tempat yang sesuai untuk anak-anak berada. Anak-anak saya sudah melihat sendiri saya di dalam kandang mahkamah disoal balas dan sebagainya. Apakan daya, saya tidak boleh berbuat apa-apa melainkan akur dengan arahan mahkamah dan tanpa gagal membawa anak-anak ke setiap prosiding mahkamah, walaupun berat hati saya untuk melihat anak-anak terpaksa melalui proses sedemikian.

Walaupun Mahkamah Syariah ada mengarahkan sementara untuk anak-anak saya bermalam selama 1 malam bersama bekas suami saya, namun, Mahkamah telah mengatakan bahawa anak-anak tersebut tidak boleh dipaksa sekiranya mereka tidak mahu.

Di dalam video yang kini telah tersebar online, anak kedua saya iaitu Faiz dengan jelas tidak mahu mengikut bekas suami saya untuk bermalam dengannya. Faiz dan anak-anak saya yang lain amat trauma dengan kejadian-kejadian dan peristiwa hitam yang telah pun berlaku sebelum ini terhadap saya di hadapan mata anak-anak sendiri.

Bekas suami saya kini sedang didakwa di Mahkamah Jenayah KL atas dakwaan mendatangkan kecederaan ke atas saya. Anak-anak trauma melihat kejadian yang menimpa ibu mereka yang sering berlaku dihadapan mereka. Sedih saya memikirkannya.

Ibu mana yang sanggup membiarkan anak-anak dipaksa, apabila jelas anak-anak itu tidak mahu. Video yang viral itu dgn jelas menunjukkan apa yang sebenarnya berlaku. Suara-suara dan tangisan di dalam video tersebut jelas kedengaran. Ada pihak yg mendakwa bahawa saya yang bertindak 'ganas' atau kasar semasa berlakunya kejadian di dalam video itu. Benarkah? Ada pihak mengatakan bahawa ahli keluarga saya telah melemparkan kata-kata yang tidak elok terhadap pihak keluarga bekas suami. Benarkah? Terserahlah kepada orang yang melihat video itu untuk membuat penilaian masing-masing.

Biarlah mereka kata apa sahaja, sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui. Saya tetap redha bersabar, bahawa semua adalah dugaan Allah SWT. Dan saya yakin, di penghujung jalan, kebenaran dan keadilan akan ditegakkan, sama ada di dunia ataupun di akhirat. Yg paling penting bagi saya, anak-anak saya tahu bahawa saya amat sayangkan mereka dan sanggup melakukan apa sahaja demi melindungi mereka setelah apa yg mereka lalui.

Dalam insiden video itu, Faiz menggenggam erat leher saya. Dia tidak mahu melepaskan saya. Dengan jelas dia tidak mahu mengikut bekas suami saya. 


Akhirnya hanya Farhan anak saya yg ketiga diambil oleh bekas suami. Ya, utk tempoh sementara kami terpaksa berpisah dan untuk tempoh sementara saya tidak tidur memikirkan keadaan emosi anak saya. Untuk tempoh tersebut, saya merasakan diri saya kehilangan nyawa. Namun saya terpaksa kuatkan semangat dan diri saya, utk anak-anak yg lain. Saya redha percaya bahawa kebenaran itu akan muncul tiba.

Doa seorang ibu untuk anak tiada hijabnya. Dalam keadaan sendu esok harinya, Farhan berlari memeluk saya sekuat hati tanda lega, riak wajah gembira dan senyuman sayang di bibir apabila dia melihat wajah saya mengubati segala keseduan dan keperitan seorang ibu yang terpaksa melalui perkara sebegini.

Saya sekeluarga amat terkilan dgn segala tomahan serta tuduhan yg telah dilemparkan terhadap kami sekeluarga sedangkan apa yg berlaku adalah sebaliknya.  Terima kasih dari saya sekeluarga kpd semua netizen yg sehingga kini tidak putus memberikan kata semangat serta doa buat saya sekeluarga.