Isnin, Ogos 08, 2016

Blurb Preview; Abang Sado Hati Jambu



Ameer Hayyad lelaki biasa. Pemuda kampung yang ada kerjaya sendiri. Hidupnya cukup sempurna di samping keluarga tersayang dan kekasih hati yang sudah sepuluh tahun menyulam cinta. Malah, mereka sudah bercadang untuk bertunang.

Sikapnya yang terlalu melindungi ahli keluarganya membuatkan dia terlibat dalam masalah alongnya. Daripada mahu menolong, dia terjebak dalam masalah besar. Hayyad yang baran dan pere-ngus bertemu dengan Yuzma yang sombong, bongkak dan suka memberontak. Tiada apa yang manis untuk dibicarakan antara mereka melainkan kebencian semata-mata. 


Masalahnya bertambah apabila Tan Sri Mokhtar memintanya untuk menjadi pengawal peribadi kepada Yuzma selama tiga bulan. Separuh rela dia menerima tawaran itu demi alongnya. Yuzma yang ingin melepaskan diri daripada menjadi isteri Edrian merancang sesuatu. Tanpa sengaja, Hayyad yang terjerat. “Tolong nikahi Yuzma. Saya merayu pada awak.” - Tan Sri Mokhtar. 



Hayyad keliru. Desakan demi desakan membuatkan hatinya rapuh. Atas nama kemanusiaan, dia setuju. Ikatan ijab kabul termeterai tanpa rasa cinta antara mereka. Bagi Yuzma, lelaki seperti Hayyad tidak layak untuknya. Bagi Hayyad, perempuan seperti Yuzma memang tidak layak untuk dicintai. Namun, kata hati sering bercanggah. Dalam diam, hati Yuzma mula terpaut pada aura seorang Hayyad. 



Bagaimana Hayyad mahu membahagikan hatinya? Mampukah dia mencintai Yuzma, isteri yang sah dinikahinya sedangkan dalam hatinya ada gadis lain yang bertakhta? Mampukah mereka mencipta bahagia setelah pelbagai dugaan membadai?