Selasa, Julai 19, 2016

Tersenyumlah Walau Hatimu Bersulam Derita...



Ada saat dan ketikanya, saat kita merasakan begitu bahagia dan selesa dengan kehidupan, tiba-tiba hadir masalah bersalut ujian. Datang dugaan berpakejkan keresahan. Tampil gelisah berdampingkan kesedihan.

Saat itu, bahagia yang selama ini didakap, sepertinya direnggut dengan tiba-tiba. Hati jadi rapuh. Jiwa merana. Air mata sudah kering kerana tidak terkira tumpahnya.

Serasanya dunia pada saat dan ketika itu terlalu zalim. Kejam! Kenapa mesti aku? Boleh jadi itu soalan yang berlegar dalam fikiran.

Sedutlah nafas. Tariklah nafas itu sedalam-dalamnya. Alhamdulillah. Tuhan masih mengizinkan kita bernyawa, tidak lain sekadar memperbaiki diri yang penuh kelompongan. Bukankah itu nikmat yang paling besar?

Tersenyumlah walau engkau derita, kerana Tuhanmu dekat bersama jiwa yang sabar. Ujian datang dan pergi dalam pelbagai rupa, hanya hati yang dekat dengan Tuhannya mampu menganyam sabar bersulam redha.