Ahad, Julai 24, 2016

Kes Tipu Hartanah; Adlin Aman Ramlie Nafi Ditahan Reman 4 Hari



Kisah Adlin Aman Ramlie ditahan pihak berkuasa dan kononnya ditahan reman oleh pihak polis meletup dalam akhbar pada Khamis lalu. Adlin Aman Ramlie tampil secara langsung dalam program hiburan Melodi memberikan penjelasan eksklusif. 

Adlin menjelaskan aktif dalam perniagaan network marketing sejak 3-4 tahun lalu. Adlin mendakwa banyak menyertai banyak event dalam perniagaan ini. Menurutnya, gambarnya banyak bersepah dalam banyak-banyak majlis yang dihadiri.

Dalam banyak-banyak majlis yang dihadiri, ada juga mereka yang terlibat dalam kes penipuan, jenayah dan sebagainya dalam bidang perniagaan tersebut, yang baharu saja diketahuinya selepas tangkapan besar-besaran melibatkan banyak pihak dilakukan oleh pihak berkuasa baru-baru ini berkaitan kes penipuan tentang pelaburan, dan hartanah.

Disebabkan itu, gambarnya bersama suspek turut wujud, menyebabkan pihak polis dari Jabatan Risikan polis mengunjungi kediaman Adlin dan membawanya ke Balai Polis Dang Wangi untuk diambil keterangan. 

Adlin menafikan ditahan reman 4 hari. Menurut Adlin, dia dibawa ke balai pada hari Rabu, dan berita didakwa ditahan reman 4 hari sudah tersebar pada hari berikutnya yang ternyata mengarut. Tambah Adlin, dalam tempoh 24 jam sahaja dia sudah berikan kerjasama dan kenyataan kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan.