Selasa, Julai 26, 2016

Cerpen: 7 Dulang Ayam!



“Papa! Papa!!” Jeritan diserta dengan tangisan panjang itu membuatkan Suhaiza gamam.

Pantas Suhaiza toleh sekeliling. Siapa lelaki yang dipanggil dua kanak-kanak di hadapannya kini? Dibuatnya saiz badan macam Sazali Samad, tak ke boleh terpelanting dia dikerjakan. Sudahlah, datang bandar hari ini pun seorang diri.  Naik pula motosikal tua. Silap hari bulan nak start motosikal pun tak larat nak pijak pedal!

Shuh! Shuh! Shuh!” Suhaiza buat gaya mak tiri. Sambil jari telunjuk menghala pada bibir. Mahu tak mahu dia perlu menyuruh dua orang kanak-kanak, masing-masing lelaki dan perempuan yang kelihatan sebaya ini diam.

Drama sebabak tepi jalan besar ini sudahpun mengundang pandangan beberapa orang yang lalu-lalang di situ. Suhaiza tak mahu keadaan bertambah kecoh.

“Tak nak!!! Nak, Papa!” Jeritan nyaring daripada kanak-kanak perempuan yang entah anak siapa yang baru meletus saat Suhaiza mahu memegang bahu kanak-kanak itu untuk tenteram, memang bala.

Suhaiza anak bongsu. Dia tak ada adik. Tak pernah pun nak biasakan diri dengan budak-budak. Jadi dia tak tahu macam mana nak pujuk budak-budak yang menangis.

“Nak beli lolipop? Tak payahlah, buat habis duit saja.”  Suhaiza berkira. Dah memang pun tabiat Suhaiza yang satu ni, kedekut tahi hidung masin.

“Za, kenapa ni?” Suara garau lelaki yang menerpa dari belakang mencantas layangan fikiran Suhaiza.

“Tak ada apa-apa...” Hanya itu yang terluah daripada bibir Suhaiza. Selebihnya dia terdiam.

Kanak-kanak perempuan tadi langsung memeluk lelaki itu. Budak lelaki yang seorang lagi tu, tak adalah dramatik sangat. Tapi dia juga menempel sama pada batang tubuh sasa lelaki berkenaan.

Sekali pandang memang tak macam Sazali Samad. Sebab apa? Sebab yang ini putih. Handsome. Siap pakai spec hitam terletak elok pada batang hidungnya yang mancung. Tapi bab badan tu, menggerunkan juga. Kalau melayang penampar sekali, mahunya, Suhaiza terpusing tujuh kali, macam dalam filem Tamil dulu-dulu.

“Kakak ni jahat! Kakak buat ayam kita lari.” Budak perempuan tadi dah mula cakap.

“Ayam?” Suhaiza telan liur.  Baru dia terpandang bakul sederhana besar, yang tadinya dipegang kanak-kanak lelaki itu tadi sudah terbongkang atas jalan tar.

Ayamnya mana? Tak ada!!!
* * * * * * * * * * * * *

“Mak, kawan yang Nizam cerita hari tu, hari ni dia datang sini.” Nizam memecah suasana petang di ruang tamu rumah kampung milik keluarga mereka.

Petang itu, Mak Munah ada goreng cempedak. Bau semerbak satu rumah.  Dikirim sedikit kepada jiran sebelah. Dalam Islam kan ada suruh berkongsi rezeki. Tak rugi memberi. Tangan yang memberi lagi mulia daripada yang menerima. Satu lagi yang semua orang kena semat dalam hati adalah dengan memberi takkan pernah kurang tau, sebab Tuhan akan tambahkan apa-apa yang sedia ada dengan kita sendiri tak sangka-sangka.

“Mak tak sempat lagi nak beritahu adik kamu tentang hal tu.” Mak Munah mencicip kopi susu hasil buatan tangannya sendiri. Nak harap air tangan Suhaiza, entah malam pun belum sempat mereka nak minum petang.

“Mana adik?” Meski tengah kunyah cempedak yang rangup digoreng dengan tepung Adabi itu, rajin juga mulut Nizam nak berkata-kata.

Mak Munah menjeling. Tak senonoh gaya anak bujang terlajaknya itu. Nizam hanya sengih, menampakkan barisan gigi putih yang tersusun elok. Guna Darlie, haruslah putih. Habis tu takkan nak tempek Qu Puteh tang celah gigi pula? Pengsan!!

“Mak suruh pergi rumah sebelah. Hantarkan cempedak sedikit. Ni dah dekat setengah jam. Batang hidung pun tak nampak lagi. Macamlah kamu tak kenal adik kamu seorang tu.” Mak Munah membuang pandang pada bukaan pintu utama rumah.  Tak adapun kelibat Suhaiza di luar sana.

Rumah keluarga ini dibina atas tanah lot. Jadi luas rumah kampung yang diwarisi Mak Munah daripada sebelah arwah bapanya ini cukup luas buat mereka anak-beranak. Mak Munah anak tunggal, jadi tak adalah istilah rebut harta atau anak perempuan hanya dapat harta yang lebih sedikit daripada anak lelaki.

Suami Mak Munah pula dah lama meninggal ketika Suhaiza baru usianya dua tahun. Anak ada empat orang. Yang sulung ada di Johor. Lelaki. Dah kahwin, ada dua anak. Masing-masing suami isteri kerja cikgu. Bila cuti sekolah baru nampak batang hidung.

Yang kedua, lelaki. Dah kahwin juga. Kerja dengan petronas. Duduk di Kuala Lumpur. Isteri duduk rumah jaga anak kembar sepasang. Bila-bila cuti, atau musim puasa dan raya nampaklah wajah.

Anak ketiga, ini dia Nizam. Umur dan 32. Suruh kahwin, kerjanya sengih. Kalau tanya bab ada yang dah berkenan, dia sengih. Bila kata nak jodohkan dengan anak orang itu dan ini pun dia sengih.  Tak tahulah nak cakap, kot kalau tersampuk dengan Hantu Sengih. Eh, wujud eh Hantu Sengih?
Anak bongsu, satu-satunya perempuan. Suhaiza. Nama penuh, Mawar Suhaiza Binti Othman Puteh. Panggil Za sahaja. Mawar tu, Mak Munah yang bagi, sebab dia suka bunga mawar, tambah pula lama juga tunggu nak dapat anak perempuan. Dapat sekali, terus dia bagi nama tu.

Suhaiza pula nama pilihan arwah suaminya. Dan ternyata Suhaiza lebih suka nama pilihan arwah suaminya. Katanya malu kalau orang panggil dia Mawar. Serupa filem zaman hitam putih katanya.

Bila fikirkan tentang Suhaiza, hati Mak Munah pasti galau. Yalah, anak dara seorang di rumah. Abang dua orang sudah ada keluarga sendiri. Nizam walaupun masih bujang tetapi menetap di Terengganu. Kerja dekat sana. Bila-bila cuti atau rasa nak balik, dia akan datang jenguk Mak Munah di sini. Bujang, senanglah kalau nak buat apa-apa sekalipun.

Tetapi yang bujangnya kalau anak lelaki, Mak Munah tak adalah risau sangat. Ini pabila fikirkan Suhaiza, pasti hati kecil akan terasa risau. Usia Suhaiza sudah 26 tahun 5 bulan 10 hari 17 jam. Namun, sayang tak ada satu bayang lelaki pun yang Mak Munah nampak belakang kelibat Suhaiza.

Nak kata anak daranya tak cantik, tipulah. Satu-satunya anak dara Mak Munah ni ada iras pelakon cantik Anzalna. Ala, Anzalna yang kahwin dengan dress macam cerita Barbie Mariposa tu.

Cantik pun kalau tak laku buat apa? Eh, anak aku lakulah. Cuma dia kaki memilih. Anak teruna Ustaz Rahman, kena tolak. Alasan yang Suhaiza bagi skema. Anak bujang Mak Bedah hujung kampung kena tolak juga. Alasan badan sekeping, kena tiup angin boleh terbang humban ke belakang.

Habis tu bila ditanya apa ciri-ciri bakal suami yang Suhaiza nak. Senarainya bukan main panjang. Nak tahu?

Tinggi serupa Norman Hakim. Sado, macam Aaron Aziz. Putih lebih kurang Zain Saidin. Mata macam Adi Putra. Hidung serupa Ashraf Muslim. Bibir gaya Saharul Ridzwan. Suara macam Amar Baharin. Dan banyak lagi kriterianya! Kalau nak tulis, mahu habis satu cerita.

Nak cari mana lelaki yang ada semua benda tu? Merepek betul Suhaiza ni. Itu yang Mak Munah selalu bising, jangan ralit sangat baca novel. Tengok, dah bukan main citarasa. Kalah taste anak raja. Demand bukan main. Dah ada orang nak pun, tak tahu nak bersyukur. Semuanya dia pandang sepi.

Harapnya kahwinlah, anak dara dia tu. Sebab kalau sungguh Suhaiza tunggu lelaki yang macam dia nak tu, confirm sampai kiamat pun anak bongsu dia tu takkan kahwin!



Bunyi kereta menyusur di perkarangan rumah, menyedarkan lamunan Mak Munah yang panjang.

Nizam sudah terlelap di kusyen panjang. Bukan dia tengok TV, tetapi TV yang tengok dia. Mak Munah pun tak sedar bila masa Nizam tinggalkan dia seorang-seorang di meja makan bulat yang boleh duduk empat orang itu.

Baru sahaja Mak Munah mahu bangkit dari duduk, terkejut dia dengar suara orang jerit dari luar. Mahu luruh jantung Mak Munah dibuatnya!

* * * * * * * * * * * * *

Pagi Isnin. Orang cakap Monday Blues. Malas nak pergi kerja. Malas nak pergi sekolah. Semua benda pun rasa berat nak buat. Biasalah, hujung minggu dua hari dah lepak best, tiba-tiba nak mula semula rutin hidup, memang liat.

Suhaiza sudah siap masukkan nasi lemak, sambil bilis, sambil sotong, kekacang, mentimun dan telur rebus dalam bekas makanan jenama Tuperwear. Bekalan untuk Nizam.

Walaupun abangnya seorang tu dah sarapan tadi, tapi pesan Mak Munah untuk bekalkan juga makanan untuk Nizam tetap dipenuhi.

Pagi ini Nizam akan kembali ke Terengganu. Katanya, gerak pagi, sampai awal. Bolehlah rehat. Esok dah mula kerja. Nizam balik hujung minggu lepas pun sebab hal berkenaan kawannya itu.

Sebut fasal kawan Nizam tu, mahunya Suhaiza sorok muka dalam reban ayam belakang rumah untuk sepurnama.

Dia baru sahaja balik dari rumah jiran sebelah hantarkan cempedak goreng. Tadi ralit sembang dengan budak-budak yang tengah main congkak di pangkin rumah Mak Bedah. Dia pun join sekaki.

Ni dah sampai rumah pun, rasa malas pula nak naik. Yang dengar bunyi TV, suara orang tak ada. Sahlah TV yang tengok orang. Dah masak sangat dengan perangai orang dalam rumah ni. Mak Munah pula mesti tengah mengelamun tak sudah.

Kadang-kadang Suhaiza terfikir, dia ni bebankah kepada ibunya.  Dia memang tak pandai mana. Belajar pun sampai habis SPM sahaja. Lepas tu setakat ambil kursus menjahit. Kerja dia sekarang di rumah, kalau ada orang hantar upah menjahit, dia buatlah. Kalau tak ada dia goyang kaki. Baca novel. Siram pokok bunga. Bagi ayam dekat belakang rumah tu makan.  Itulah rutin hidup dia.

Fasal duit tak ada masalah sangat. Keluarga sebelah Mak Munah memang ada harta. Hasil dari sawah dan dusun memang tak putus. Cuma yang buatnya orang lain. Mak Munah dah tak larat nak ambil tahu semua tu. Senangnya gajikan orang saja. Nak harapkan anak lelaki, semua kerja luar negeri. Nak harapkan anak dara, lagilah tak boleh harap.

Tapi, Suhaiza bukanlah jenis yang suka minta duit dekat Mak Munah, kemudian kerap keluar ke bandar, nak enjoy apa semua tu. Memang tak ada. Dalam sebulan dua boleh kira dengan jemari sebelah tangan saja pun tak habis, berapa kali saja dia keluar ke bandar.

Kalau bukan sebab nak beli barang-barang jahitan, memang Suhaiza takkan keluar jauh. Paling-paling pun pusing dalam kampung saja. Lagipun dia memang tak ramai kawan. Kawan yang ada pun semua dah kahwin ikut suami, ada juga yang dah kerja di kota. Tinggal dia seorang saja yang duduk jaja muka jadi duta tak bertauliah dalam kampung tu.

Sikit hari dah boleh usung title andartu. Itulah yang buat Mak Munah risau. Suhaiza tahu sangat fiil maknya seorang tu. Itu yang kekadang dia rasa bersalah. Bebankah dia pada Mak Munah?

Tapi soa hati dan perasaan mana boleh paksa. Nak jodohkan dengan lelaki yang dah kenal dari kecil, yang main sama-sama, yang dah dianggap serupa abang sendiri? Mana boleh. Tak ada feeling lah!

Soal kahwin ini kan soal besar. Permulaan kepada suatu kehidupan baharu. Mana boleh tergesa-gesa. Takkanlah nak kahwin hari ini, bulan depan atau tahun depan cerai. Alasan sebab tak ada kimia. Tak ke rugi duit buat kenduri. Belum apa-apa dah cerai-berai.

Suhaiza tak nak semua tu berlaku. Lebih baik dia cerewet. Tak apa kalau lambat sedikit. Asalkan dia betul-betul yakin dengan pilihannya. Setiap manusia tu kan diciptakan secara berpasangan. Pasti ada lelaki yang tercipta untuk dirinya.

“Assalamualaikum.” Garau suara lelaki di hujung telinga.

Bagai terkena renjatan elektrik, Suhaiza memberi respon. Habis keluar jeritan nyaring. Tak cukup dengan tu, siap kukunya mendarat di lengan lelaki gagah di hadapannya itu.

Selebihnya, Suhaiza hanya telan liur. Apatah lagi Mak Munah dan Nizam sudah muncul di ambang pintu rumah.

Nak salahkan Suhaiza? Siapa suruh bagi salam dekat telinga macam tu. Mujur dia tak baling pasu bunga orkid yang dia tengah belek tadi. Kira setakat cakar tu, boleh consider lagi kan?

Ayat buat sedap hati Mawar Suhaiza Binti Othman Puteh!

“Maaf Mak Cik. Tak sengaja tadi.” Teratur bicara lelaki yang dipanggil kawan Nizam itu.

“Panggil Mak Munah saja. Anak ni, Kamal kan?” Mak Munah sekadar mahu dapatkan kepastian. Nizam ada beritahu nama kawannya ini. Cuma dia terlupa.

“Ya, Mak Munah. Kamal.” Senyum lelaki berkulit putih itu menampakkan baris gigi yang tersusun cantik.

Sekali pandang, dah tahu. Sah, mesti anak orang kaya. Tak percaya? Tengok kereta dekat luar sana pun dah cukup! Audi R8. Muda macam ni takkanlah boleh pakai kereta mewah macam tu.

“Za, apa yang mengendap tu. Cepat pergi buat air.” Sergahan Mak Munah tanpa salam itu cukup memalukan.

Sudahlah terkantoi dengar orang cakap sebalik tirai, antara dapur dan ruang tamu. Sekali dengan kawan Abang Nizam, yang dipanggil Kamal juga tertoleh sekali ke arahnya.

Cepat-cepat Suhaiza melarikan diri ke dapur. Tak sanggup nak bertentang mata dengan Kamal. Teringat peristiwa di pekan awal petang tadi.

“Dalam banyak-banyak manusia dalam dunia ni, kenapa lelaki itu yang mesti jadi kawan Abang Nizam?” Bentak hati Suhaiza dalam diam.

“Abang Nizam ni pun satu. Kawan dia yang datang, kita pula yang kena buat air. Yang dia pula sibuk bawa budak berdua tu pergi kedai. Menyampah!” Suhaiza memuncungkan bibir, sambil mencapai teh dan gula untuk membancuh minuman buat tetamu yang tidak diundang bagi dirinya itu.

* * * * * * * * * * * * *

Terhibur mata Mak Munah melihat keletah Suhaiza melayan anak-anak Kamal. Riuh halaman rumah, si kembar Fariza dan Farizul berlari mengejar ayam. Tak tahulah apa yang budak berdua tu suka sangat dengan ayam.

Ada masa siap Suhaiza pun dipaksa jadi ayam. Disuruhnya Suhaiza buat-buat mengepakkan sayap. Lepas tu, minta Suhaiza buat bunyi ayam.

Dengar sahaja suara jadian Suhaiza serupa ayam lanjut usia, terkekek-kekek tawa meletus daripada bibir Fariza dan Farizul. Budak bandar, agaknya sebelum ni tak pernah ada pelung tengok ayam hidup dalam keadaan dekat.

“Za, sudah-sudahlah tu. Nak dekat Maghrib. Bawa budak berdua tu masuk. Mak nak kurung ayam tu balik.” Mak Munah beri arahan.
Kalau dilayan terus, sampai azan Maghrib berkumandang sekalipun tak henti punya suara ketawa dan hilai memenuhi laman rumah. Tak elok pula jiran-jiran tengok. Kalau setakat budak kembar itu sahaja tak apa, ini bila anak dara pun tumpang sekaki, tak ke nanti buat malu sahaja.

Elok-elok ada juga yang merisik fasal Suhaiza, karang tak ada seorang pun yang sudi. Bala dibuatnya nanti!

Monyok sahaja muka Fariza dan Farizul apabila Mak Munah selamat mengurungkan Si Tanjak, ayam jantan seekor yang dilepaskan daripada sangkar tadi untuk dibuat ‘mainan’.

“Alah, jangan buat muncung macam tu. Nanti Tanjak datang patuk baru tahu.” Suhaiza sengaja mengusik Fariza. Saat itu, mereka sudah berada dalam ruang tamu.  Nampak sangat menipu ayat Suhaiza itu.

“Macam mana nak patuk? Acik Unah kan dah kurung dia. Cian dia.” Fariza buat muka sememeh. Siap menjuihkan bibir.

“Adik, kalau tak kurung, mesti Tanjak lari. Nanti esok adik tak dapat jumpa dah.” Farizul pula mencelah.

“Hah, betul kata abang tu. Esok boleh main lagi dengan Tanjak. Kalau malam ni adik nak akak jadi ayam pun boleh. Tak mo sedih-sedih okay.” Suhaiza memujuk Fariza sambil memeluknya.

“Za, Zul sudahlah tu. Nak Maghrib dah ni, jom ikut Papa mandi.” Tertoleh tiga pasang kepala ke arah suara lelaki yang bergema di ambang pintu rumah.

“Yay ,Papa balik. Yay, Papa balik!!” Riuh suara budak berdua berlari merangkul Papa mereka.

Suhaiza kerling sahaja. Dalam hati bukan main debar lagi rasa.

“Bila masa dia balik?” Hati Suhaiza bertanya kepada akal. Sibuk sangat cerita fasal ayam, sampai ada kereta yang masuk laman rumah pun dia tak perasan.

Melihat Kamarul dan anak-anaknya melintasi ruang tamu bergerak masuk ke dalam rumah, Suhaiza bingkas dari duduk.

Langkah kaki mengatur ke arah jendela. Niat di hati lain, tapi kalau nak kaburi pandangan mata, alasannya nak tutup jendela.

“Kakak tak nak mandi sekali?” Soalan suara kecil yang buat mata Suhaiza terkebil-kebil.

Terkejut pastinya. Manalah tahu ada yang perasan apa yang dia buat.

“Za, tak payah ajak kakak. Mai, pergi mandi cepat. Nak Maghrib kejap lagi. Kakak tu tengah berangan tunggu putera raja ajak dia pergi mandi.” Lincah mulut Kamarul yang tak ada insuran menempelak Suhaiza. Tangan gagah itu seraya memimpin Fariza ke bilik mandi.

Sekali dengar sakit juga hati Suhaiza dibuatnya. Tapi sakit hati tu tak lama, bila sebahagian lagi hatinya rasa tersentuh melihat cara Kamarul melayan anak-anaknya.

Hebat juga lelaki ini. Tanpa wanita bernama isteri pun, masih mampu jaga anak-anaknya sendiri.

* * * * * * * * * * * * *

“Minta maaflah Mak Munah, kalau saya dan anak-anak menyusahkan.” Kamarul yang baru mencicip air teh o yang dihidangkan Suhaiza mulakan bicara.

“Tak ada susahnya Kamarul. Nizam dah ceritakan semuanya. Mak Munah tumpang simpati. Tak apalah, biar saja budak-budak tu dalam rumah ni, sementara kamu ada kerja dekat sini. Tak perlu kamu risau. Tak ada apa yang menyusahkan pun. Kamu pun kalau nak tinggal dalam rumah ni pun, Mak Munah tak kisah. Bilik dalam rumah ni pun banyak. Tapi yang tinggal dua orang saja pun.” Panjang Mak Munah menerang.

Kalau boleh Mak Munah tak nak tetamu yang ada depan matanya ini rasa serba salah.

“Terima kasih Mak Munah. Saya tak tahu nak balas macam mana budi baik Mak Munah ni.” Kamarul hanya mengulum senyum. Sekilas matanya mencari Suhaiza yang tetap memasang telinga sebalik tirai, meski sudah tertangkap awal tadi.

Malam ini, entah kenapa bicara awal Kamarul yang datang pertama kali ke rumahnya terngiang-ngiang di telinga.

Hari yang menyaksikan dia terlanggar anak Kamarul pada siangnya. Hari yang dia mencakar lengan Kamarul pada petangnya. Dan hari yang pertama kali dia mendapat tahu kisah peribadi Kamarul meski bukan sepenuhnya tetapi tetap diketahui sebahagiannya.

Isterinya meninggal ketika melahirkan kembar. Usia perkahwinan mereka baru lima tahun. Isterinya merahsiakan komplikasi kehamilan daripada pengetahuan Kamarul. Tujuannya cuma satu, biarlah lelaki itu punya zuriat meski nyawanya harus dipertaruhkan.

Besar pengorbanan arwah isteri Kamarul. Dan lelaki itu pula masih setia kepadanya walau tujuh tahun detik hitam itu sudah berlalu pergi.

Suhaiza gigit bibir. Ada juga lelaki yang setia persis Kamarul dekat dunia ni. Apakah masih ada peluang buat dirinya untuk memiliki lelaki sedemikian rupa?

Tok! Tok! Tok!!!

Ketukan pada pintu biliknya, membuat Suhaiza bingkas daripada perbaringan. Sekilas mata tertancap pada jam usang yang masih berbakti pada dinding kayu rumahnya.

“Fariza? Kenapa tak tidur lagi?” Itu yang Suhaiza tanya mula. Pelik tengok budak bertuah ni tak tidur lagi walaupun jam sudah 10.30 malam.

Ikutkan malam ni Kamarul memang tidur di situ. Tak balik ke hotel semula. Sebab tu Fariza dan Farizul tidur bersama Papa mereka.

“Za, nak dengar cerita ayam. Tapi Papa tak tahu nak cerita fasal ayam. Za nak dengar cerita ayam lain. Papa suruh Za tanya kakak.” Jujur sekali jawaban Fariza. Tersusun elok.

Ayam lagi? Desis hati Suhaiza. Bibirnya menguntum senyum. Lantas tangan memaut bahu anak kecil itu ke arah katil.

Di situ Suhaiza mengarang cerita, dan di perbaringan itu sama-sama mereka menganyam lena.

* * * * * * * * * * * * *

Sudah dua minggu Kamarul dan anak-anaknya kembali kepada kehidupan asal mereka. Dua minggu ini juga rumah Mak Munah sudah sunyi sepi. Kerja Kamarul di sini sudah selesai. Makanya, lelaki itu telah kembali ke Terengganu.

Tetapi kenapa Suhaiza rasakan bagaikan ada satu kehilangan besar? Jauh di sudut hati, rasa kekosongan itu semakin mendera. Empat belas hari kebelakangan ini bagaikan tidak berseri.

Meski mentari tersenyum setiap hari, tetapi entah kenapa bagi Suhaiza serasanya bagai mendung yang hadir setiap hari.

“Suhaiza, mari sini mak nak cakap sikit.” Mak Munah panggil anak daranya sesudah Subuh pagi Ahad itu.

Suhaiza pelik. Awal benar Mak Munah ajak sembang. Ada yang penting ke?

“Petang ni lepas Asar, ada orang akan datang risik kamu. Mak nak kamu siap, pakai lawa-lawa. Jangan buat brutal tak tentu hala.” Mak Munah menembak Suhaiza.

“Mak...” Panjang sahutan Suhaiza Mak Munah tak layan. Terus dia ke dapur buat apa-apa yang patut.

Sesudah Asar hari itu memang tetamu datang ke rumah Mak Munah. Suhaiza tak ada hati nak tengok lewat jedela.

Abang-abangnya yang tiga orang bersama dua kakak ipar dan anak buahnya semua selamat sampai rumah dalam pukul 10 pagi tadi. Suhaiza rasa pelik yang amat. Seolah-olah semua dah berpakat. Cuma dia seorang sahaja yang tak tahu apa-apa.

Seketika kemudian, kakak ipar keduanya masuk dalam bilik. Dipanggilnya Suhaiza suruh keluar hidangkan air buat tetamu.

Suhaiza yang hanya memakai kurung kapas putih bermotifkan bunga mawar warna merah jambu itu hanya menurut. Sudah seperti patung dibuatnya.

Yalah, dalam hati tersirat yang lain. Awalnya dia sendiri tak sedar bagaimana hatinya yang jarang terpaut pada lelaki itu boleh tergolek. Pertemuan mereka singkat. Perbualan mereka, tak banyak mana pun. Tetapi...

Itulah barangkali namanya cinta. Dan sebab itu jugalah mungkin ramai yang kata cinta itu buta.

Dulang yang Suhaiza tatang hampir terlepas! Mahunya tidak?!

Yang segak di ruang tamu adalah Kamal. Kelihatan juga Fariza dan Farizul yang senyum malu-malu memandang ke arahnya. Ada juga seorang dua wanita dan lelaki dewasa. Barangkali saudara Kamarul.

Sehabis mungkin Suhaiza buat biasa. Tetamu perlu dilayan sebaiknya.  Senyuman diukir dengan paksa. Nampak canggung daripada biasa. Habis dihidang air, pantas kakinya melangkah semula ke dalam bilik.

Tidak betah dia menunggu di situ lagi. Masuk sahaja dalam bilik, air matanya bercucuran. Gelak ketawa di luar sana membakar lagi hatinya yang sedia rapuh. Sedu-sedan semakin kuat kedengaran.

Entah pukul berapa, Suhaiza terpisat-pisat bangun apabila dikejutkan Mak Munah. Mukanya comot dengan maskara yang cair lewat linangan air mata yang tak berhenti sebelum dia terlelap tanpa sedar.

“Mak, Za tak nak kahwin dengan dia. Za, tak ada perasaan dekat dia.” Suhaiza meluah rasa.

“Za, layan dia biasa-biasa saja. Tak sangka dia anggap layanan Za ni lain. Za, tak nak mak!” Suhaiza menangis lagi.

“Tapi, Za. Pihak sana kata tadi, kamu suka sama suka. Kalau tak, takkanlah sampai dihantar cincin merisik sekali dengan cincin tunang sekali.” Penerangan Mak Munah membuatkan biji mata Suhaiza sepertinya mahu tercabut keluar.

Biar betul?! Suhaiza dah jadi tunangan orang?

“Mak!” Tinggi sedikit suara Suhaiza. Nak proteslah tu.

“Tadi mak jenguk dalam bilik, kamu tidur. Mak bagi alasan kamu tak berapa sihat. Sebab tu wakil pihak sana tak sarungkan sendiri cincin dekat jari kamu.” Mak Munah mengusap lembut kepala Suhaiza.

“Suhaiza, dalam hidup ini kita jangan terlalu memilih nak. Mak rasa inilah jodoh yang paling baik untuk kamu. Bakal suami kamu pun mak dah pernah jumpa sebelum ni. Abang Nizam kamu pun cerita yang baik-baik sahaja fasal dia. Abang kamu yang lagi berdua tu pun semuanya pakat setuju. Mak harap sangat kamu terima sahaja keputusan ni. Jangan hampakan mak, Za.” Mak Munah cium ubun-ubun anak daranya, kemudian dia keluar dari bilik anak bongsunya itu.

Tak terkata Suhaiza. Dia tak pernah bercinta. Saat hatinya tersuka tanpa sengaja pada seseorang yang bernama lelaki, dia dipaksa memilih lelaki yang lain. Andai ini suratannya, siapa dia untuk melawan takdir.

Tak mahu terus bermuram durja, Suhaiza bingkas daripada katil. Diri perlu dibersihkan. Maghrib dah masuk. Dia tak nak kehilangan Maghrib hanya semata-mata kerana cinta yang tak kesampaian. Nak kata cinta pun tak juga, mungkin hanya dia yang terlebih rasa. Apatah lagi dua minggu kebelakangan ini, yang di sebelah sana sunyi tanpa berita.

Nafas dilepas keras. Resah tetap membukit di hati. Fikiran sarat bersawang tak bertepi.
Keluar daripada bilik bersama tuala dan kain batik, riuh suara di dapur memanggil hati untuk menjenguk.

“Hah, bakal pengantin dah sampai tu.” Ada suara yang mengusik.

Suhaiza abaikan saja. Yang lagi mencuri pehatiannya ialah, bau-bau yang sedang menerobos ke dalam hidungnya.

“Mai lah sini, Suhaiza hoi. Tak pernah dibuat orang, bakal laki hang ni.” Kakak iparnya yang seorang ni memang pekat cakap utara.

Dalam malas-malas Suhaiza menghampiri juga. Dalam hati nak tahu apa yang mereka tengah makan tu. Baunya memang sedap.

Sekali tengok berkerut dahi Suhaiza dibuatnya. Ada tujuh dulang, atas setiap dulang ada bekas perak yang terukir cantik, tak besar sangat dan tak kecil sangat. Ketika itu semua bekas yang bertutup itu telah dibuka. Dan ada yang sudah luak isinya dikerjakan orang-orang dalam rumah itu.

“Ayam Masak Merah, Rendang Ayam, Ayam Masak Kicap, Ayam Goreng Berempah, Kurma Ayam, Ayam Masak Lemak Cili Padi, dan Kerutup Ayam. Yang mana satu pilihan hati tuan puteri?” Tanya Nizam dengan nada seloroh.

“Tuan puteri pilih ayam yang namanya Hafsham!” Suara anak sulung Mak Munah bikin satu dapur gamat dengan gelak ketawa.

Sebaris nama itu dan kesemua tujuh jenis masakan ayam yang terhidang atas setiap dulang ini membuatkan sekujur tubuh Suhaiza bagaikan terkena renjatan elektrik.

Bawah bibirnya digigit, fikiran sedang terlontar ke belakang. Pantas kakinya berlari semula ke dalam biliknya.

Telefon bimbit dicari. Telefon yang sengaja dimatikan kerana kecewa. Telefon yang sengaja dicampakkan kerana terluka.

Puas dia cari, akhirnya telefon itu tersorok di bawah katil peraduannya.

Dihidupkan telefonnya, juga wifi. Aplikasi Whatsapp dicapai. Ada sepuluh mesej daripada Hafsham. Dia baca satu persatu. Ada senyum pada bibir, juga linangan air mata di pipi. Kalau petang tadi dia menangis kecewa, senja ini dia tersedu kerna bahagia.

Siapa sangka Hafsham yang beberapa kali mengikut Kamal ke rumahnya ini boleh membuka hatinya yang selama ini terkunci.

Kamal dan Hafsham kawan baik, sejak zaman universiti, senior dan junior. Kebetulan kerja pun di syarikat yang sama, cuma cawangan yang berbeza. Mereka berkursus di sini.

Fariza dan Farizul punca Kamal hadir secara nyata dalam kehidupannya. Dan Hafsham dikenali lewat Kamarul yang beberapa kali mengajak temannya itu datang ke rumah.

Ah, takdir. Lukisannya tidak ada sesiapapun yang mampu meramal. Bohonglah kalau nak percaya cakap tukang tilik seratus peratus, ramalan kaji cuaca pun banyak kali tak betul daripada yang tepat, dah nama pun ramalan kan?

Bukankah jalan hidup di dunia ini semuanya ditentukan Tuhan? Mati-mati dia ingat perlu jadi isteri kepada Kamarul.

Suhaiza menarik nafas panjang, kemudia hembus perlahan-lahan. Lega.

Sekali lagi bibirnya tersenyum sumbing. Teringat perbualan bersama Hafsham lewat Whatsapp beberapa lama dulu.

“Za kan, kalau kata ada yang nak merisik ke, bertunang ke, tak payahlah hantaran mahal-mahal, bagi ayam tujuh dulang pun dah cukup!”

Tak sangka pula, betul-betul dibuatnya Hafsham ni!

T A M A T