Khamis, Jun 02, 2016

"Saya Tak Kacau Orang; Tak Minta Jadi Popular" - Khai Bahar



Melangkah ke dalam dunia seni, pasti dugaan yang datang juga tidak akan pernah bertepi. Penyanyi yang terkenal menerusi aplikasi Smule dan YouTube, Khai Bahar yang sudah memilih menjadi artis rakaman berkongsi luahan hati menjadi mangsa kritikan gara-gara isu tekak berdarah.


Khai ketika dihubungi Astro Gempak berkata, dia sedikit terkilan apabila ada pihak yang terus membuat tanggapan negatif dan memburukkan namanya tanpa mengetahui cerita sebenar.

“Sedih juga baca bila tahu ada orang yang tak puas hati dengan kita, biasalah tak semua orang suka kita dan itu memang adat bila dah masuk dalam industri. Saya tak kacau orang pun, saya masuk industri sebab nak menyanyi dan tolong keluarga. Saya tak minta pun nak jadi popular.Saya akui bukan penyanyi profesional, saya mula menyanyi di aplikasi Smule hanya untuk suka-suka. Secara jujur saya sendiri pun terkejut boleh sampai ke tahap macam ni. Ini baru dugaan kecil, akan datang kita tak tahu, bila fikirkan keluarga, saya kuatkan semangat,” katanya.