Ahad, Mei 08, 2016

Ziana Zain Tak Harap Hadiah Daripada Peminat


Bukan mudah untuk mengekalkan populariti dan kekal relevan dalam industri hiburan di Malaysia untuk tempoh lebih 20 tahun. Senarionya cukup berbeza jika mahu dibandingkan situasi dunia seni tanah air berbanding di luar seperti Hollywood mahupun Bollywood.

Jika di luar, semakin senior seseorang bintang, sama ada penyanyi atau pelakon, maka semakin tinggi nilainya, lebih eksklusif, semakin dihargai oleh pelbagai pihak. Tetapi di Malaysia, situasi itu jarang sekali berlaku. Malah penyanyi senior yang pernah popular dan meledak pada zaman 70-an, 80-an, 90-an, malah awal 2000-an juga sudah semakin sepi dan dilupakan.

Justeru, pabila insan seni bernama Siti Roziana Zain, atau nama komersialnya Ziana Zain masih lagi diterima, didambakan, dan dihargai oleh kelompok peminat setianya, maka itu merupakan suatu rahmat besar buat beliau.

Mei adalah bulan yang cukup istimwa buat Ziana Zain. Hari ulang tahun kelahirannya dan ulang tahun perkahwinan penyanyi kesayangan ramai ini termaktub dalam bulan Mei. 2 Mei lalu genap 48 tahun ibu kepada 4 orang cahaya mata ini menghirup nafas di muka bumi ini, dan separuh daripada hayatnya itu diabdikan kepada dunia seni, sama ada nyanyian, lakonan, pengacaraan, juri, jurucakap, model, duta produk, dan ikon fesyen.


Lombok menjadi pilihan destinasi Zianafolks bagi tahun 2016, untuk meraikan hari lahir diva pop negara ini. Masih lagi merendah diri, itulah antara azimat yang merantai rapat ikatan antara Ziana dan para peminatnya yang terdiri daripada pelbagai golongan. Malah, Ziana langsung tidak mengharapkan sebarang hadiah dan pemberian daripada peminatnya, melainkan secebis doa.

Meski, sepi tanpa album baharu, dan juga sunyi tanpa lagu baharu. Malah, bakat lakonannya juga sudah agak lama tidak disaksikan, aura Ziana Zain tetap utuh di tempat yang tersendiri. Walaupun ada yang mempertikaikan keupayaan Ziana membawakan lagu bernada tinggi dalam persembahan live, ditambah dengan kehadiran penyanyi baharu yang bagai cendawan tumbuh selepas hujan, namun kesetiaan peminatnya dari zaman Madah Berhelah hingga Dingin tetap seteguh Puncak Kasih. 

Hakikatnya, Ziana Zain cuma satu. Hanya jauhari yang mengenal manikam. Lalu, hanya yang meminatinya sahaja tahu musababnya! Yang pasti bintang seni ini cukup istimewa, mesti tiada gelar pangkat di pangkal nama, Ziana Zain tetap ulung di hati pemujanya!