Rabu, Mei 25, 2016

Sinopsis Drama Seindah Takdir Cinta; Akasia TV3



SINOPSIS SEINDAH TAKDIR CINTA

Mia Karmila, anak gadis kesayangan Dato’ Kamal dan Datin Mariam yang biasa hidup dengan cara moden dan penuh kemewahan, langsung tidak menyangka pertemuannya dengan seorang pemandu teksi bernama Shahriman telah berjaya merubah keseluruhan cara hidupnya. Dari seorang gadis moden dan sosial telah dalam sekelip mata mahu berjihad mengumpul saham akhirat. Tanpa mereka sedari, melalui beberapa pertemuan yang tidak pernah dirancang telah membenihkan bibit-bibit cinta yang tulus dalam hati mereka.

Manakala Adrian, satu-satunya anak lelaki Tan Sri Affendy dan Puan Sri Zalina terus tidak berputus asa untuk menjinakkan Mia Karmila sebagai kekasih yang dapat memenuhi kerakusan nalurinya sebagai seorang lelaki mancho, bergaya dan kaya raya, walaupun ramai perempuan lain yang lebih dari bersedia untuk memenuhi segala kehendak Adrian itu.

Perubahan sikap Mia Karmila benar-benar mencabar kelelakian Adrian sehingga dia bertekad, walau apa jua pun syarat yang diminta oleh Mia Karmila, Adrian tidak peduli. Yang pasti Mia Karmila mesti jadi miliknya. Tekad Adrian menjadi bertambah kuat apabila kedua ibu bapanya dan juga ibu bapa Mia Karmila bagaikan menggalakkan dan merestui niatnya itu.

Dalam kepayahan dan kepiluan yang mencengkam jiwa, Mia Karmila terpaksa juga akhirnya menerima ijabkabul Adrian apabila lelaki itu telah berjaya memenuhi setiap syarat yang dipintanya. Pilu di hati Mia Karmila bertambah parah apabila mengetahui bahawa Shahriman bagaikan dalang yang membolehkan Adrian menikahinya. Siapakah Shahriman sebenarnya

Namun hanya ALLAH yang sesungguhnya maha mengetahui segala apa yang diaturkannya. Adrian terpaksa di masukkan ke hospital sebaik sahaja dia dan Mia Karmila dinikahkan. Sebagai seorang gadis solehah, Mia Karmila sedar akan tanggung jawabnya di sisi Adrian kini seandainya Syurga ALLAH adalah tujuan destinasinya.

Dengan itu Mia Karmila bertekad menjadi seorang isteri yang sentiasa diredhai oleh suaminya untuk mendapatkan Syurga ALLAH itu. Maka dengan seikhlas hatinya Mia Karmila cuba melupakan Shahriman dan terus tabah menjaga Adrian di hospital.

Bagaimanakah dapat Mia Karmila meneruskan hari-hari kehidupannya menjaga Adrian di hospital manakala hubungan Shahriman dengan keluarga Adrian semakin rapat, dan dengan itu juga membuatkan dia dan Shahriman sering bertentang mata.

Ia juga bagaikan luka lama berdarah kembali bagi Shahriman ketika menemankan Adrian dan Mia Karmila serta ibu bapa mereka menunaikan Ibadah Umrah di Mekah. Shahriman benar-benar tidak mampu lagi untuk terus menyorokkan segala derita jiwa dan hatinya yang gersang selama ini apabila melihat gadis yang pernah bertahta di hatinya itu menerima segala ujian dan dugaan ALLAH dengan begitu ikhlas dan tulus.

Demi cintanya pada Mia Karmila yang tidak pernah luak walau sezarah pun, Shahriman terus berusaha untuk mendapatkan kembali cinta itu walau pun dia tahu cinta Mia Karmila kini hanyalah untuk Adrian apabila kedua suami isteri itu mengakuinya di hadapan Baitullah.

Berjayakan Shahriman memujuk dan mendapatkan kembali cinta Mia Karmila yang pernah direlakannya untuk diberikan kepada Adrian?