Ahad, April 03, 2016

Review Konsert Dato Siti Nurhaliza & Friends


"Konsert Dato Siti Nurhaliza & Friends" yang berlangsung malam tadi di Stadium Negara, Kuala Lumpur, ternyata merupakan suatu momen teristimewa dalam hidup penyanyi nombor satu negara ini. Meraikan ulang tahun ke-20 pembabitannya dalam industri seni, di samping konsert yang dijayakan ini juga merupakan konsert ke-30 milik isteri kesayangan Datuk K itu, maka tidak hairanlah segalanya dipastikan dalam kondisi terbaik sehinggakan "Konsert Dato Siti Nurhaliza & Friends"digelar konsert bertaraf lima bintang!

Disertakan persembahan bertenaga, diiringi tiga elemen muzik iaitu orkestra, band dan akustik oleh 40 orang pemuzik orkestra dan band yang didatangkan dari New York, "Konsert Dato Siti Nurhaliza & Friends" ini juga diserikan dengan kemunculan penyanyi sensasi Anggun, Afgan, Cakra Khan, Faizal Tahir dan Hafiz Suip. 


Menerusi konsert berdurasi lebih dua jam itu, Siti membawakan hampir 20 buah lagu di mana menerusi segment akustik, Siti menyampaiakan rangkaian lagu keramatnya seperti Aku Cinta Padamu, Percayalah, Jaga Dia Untukku dan Terbaik Bagi Mu secara solo.

Pentas persembahan semakin bertenaga dengan paduan persembahan bersama Joe Flizzow dan SonaOne menerusi lagu Ku Mahu dan Ku Milikmu menerusi segment bersama band.

Penyanyi Anggun seterusnya memanaskan suasana menerusi lagu Snow On The Sahara dan Bukan Cinta Biasa yang dinyanyikan secara duet bersama Siti. Mengakhiri segmen band, Siti menyampaikan lagu Cindai yang diberi nafas baru, namun cukup mesra telinga.

Siti terus memukau ribuan penonton dengan vokal mantapnya saat menyampaikan sebuah lagu Inggeris berjudul Memories di segmen orkestra.

Lagu yang disampaikan secara 'duet digital' bersama idolanya mendiang Whitney Houston amat terkesan diingatan penonton.

'Memories' merupakan lagu Whitney Houston yang belum sempat dikeluarkan sebelum kematiannya dan diberikan kepada Siti dengan bantuan pihak Yonder Music untuk terus diangkat ke persada antarabangsa dalam waktu terdekat ini.

Tidak terhenti di situ, sorakan padu penonton terus menggegarkan isi ruang Stadium Negara apabila Siti tampil dengan beberapa buah lagu duet bersama artis-artis lelaki popular antaranya Hafiz (Muara Hati), Cakra Khan (Seluruh Cinta) Faizal Tahir (Bagaikan Sakti) dan Afgan (Biarlah Rahsia).


Selain turut menyampaikan sebuah lagu yang pernah menaikkan namanya 20 tahun lalu Jerat Percintaan sebagai lagu tribute untuk komposer Allahyarham Adnan Abu Hassan.

Masih dalam segmen yang sama, Siti tidak mengecewakan penonton dengan mengalunkan lagu-lagu kegemaran para peminatnya seperti Seindah Biasa, Kau Sangat Bererti, Menatap Dalam Mimpi dan Lebih Indah dengan penuh bertenaga.


Acara kemuncak konsert diserikan dengan nyanyian beramai-ramai dari semua artis yang terlibat menerusi lagu Kau Ilhamku.

Sepanjang 2 jam lebih konsert istimewa itu, Siti Nurhaliza tampil anggun dengan seleksi busana hasil sentuhan emas pereka fesyen duo terkenal tanah air Rizman Ruzaini. - mstar

1 Komentar:

Write Komentar
hafizan mohd
AUTHOR
4/4/16 12:38 PTG delete

Boleh baca di sini juga :)

http://stail.my/cerita/budaya/10-momen-indah-konsert-datuk-siti-nurhaliza-friends/

Reply
avatar