Isnin, Mac 14, 2016

Norman Hakim Tolak Tawaran Jadi Model Seluar Dalam!


Sejak terbabit dalam aktiviti bina badan kira-kira lima tahun lalu, Norman Hakim mengaku beliau menerima banyak tawaran untuk memperaga pakaian sukan yang melekat di badan hinggalah ke seluar dalam.

Tawaran berkenaan diterima suami kepada Memey Suhaiza ini menerusi laman Instagram miliknya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bagaimanapun, sebagai lelaki Melayu beragama Islam, Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 40, sedar ada batas yang perlu dihormati dan dijaganya, sekali gus menolak tawaran terbabit dengan baik.

"Kebanyakan tawaran yang datang daripada syarikat antarabangsa meminta saya memperagakan pakaian sukan melekat di badan. Pada masa sama, ada juga beberapa syarikat tempatan yang turut menghulurkan tawaran sama.


"Insya-Allah, saya juga merancang untuk mengeluarkan produk serupa di bawah jenama sendiri. Jika hendak difikirkan dari sudut membina rangkaian baharu, tawaran itu memang bagus. Bagaimanapun, saya takkan memakai pakaian bersaiz kecil seperti seluar dalam," kata pemilik Mr Sado Gym & Fitness Centre ini.

Menurut bintang Suami Aku Ustaz itu, ada antara syarikat yang begitu teruja untuk bekerjasama dengannya sehingga menunjukkan contoh pakaian sukan yang dimaksudkan.

"Barangkali mereka tidak faham budaya kita. Saya bagaimanapun tetap memberi maklum balas kepada setiap tawaran yang datang atas paksi hubungan awam. Mereka pun mengikuti akaun Instagram saya," katanya.

Kata pelakon ini lagi, sejujurnya beliau tidak sanggup untuk berbuat begitu. "Kalau ada yang perhatikan gambar saya muat naik di laman Instagram pun, saya memakai pakaian yang menutup pusat hinggalah bawah lutut," katanya yang terbang ke Chennai, India, Januari lalu bagi menjalani penggambaran filem Tamil, Kabali, di samping bintang legenda, Rajinikanth. - Berita Harian