Ahad, Mac 20, 2016

Misha Omar Tak Dapat Tidur Malam Teringat Arwah Adnan Abu Hassan


Arwah merupakan insan bertanggungjawab membentuk pemilik nama Samiha @ Aisah Omar itu menjadi seorang penyanyi berkarakter membezakannya penghibur pentas yang lain. Katanya yang kini berbadan dua, dia amat bertuah kerana sempat melawat sebelum Adnan menghembuskan nafas terakhir.

“Sepanjang malam saya tidak boleh tidur kerana teringatkan arwah. Arwah selalu cakap dia bangga dengan cara saya membawa diri sebagai penyanyi setiap kali kami bertemu. Saya telah kehilangan ayah kandung dua tahun lalu dan kini saya hilang ‘bapa’ dalam industri muzik pula. Tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan perasaan saya ketika ini,” tutur Misha smabil menjelaskan kebanyakan lagu dalam album pertamanya merupakan karya ciptaan Adnan.


Sambung Misha, mereka sempat bertemu sebelum Adnan jatuh sakit dan berbincang tentang perancangan konsert menghimpunkan semua penyanyi yang pernah menjadi anak didiknya dalam sebuah konsert besar. Namun, impian tersebut tidak kesampaian.

“Idea tentang konsert tersebut datang pada dua tahun lalu. Saya terus memberi persetujuan ketika ditawarkan untuk terlibat dalam konsert itu, tetapi bukan rezekinya untuk melihat perancangan tersebut jadi kenyataan.

“Sepanjang 15 tahun ini, saya cari makan dengan lagu Bunga-Bunga Cinta. Selepas ini saya akan terus menyanyikan lagu ciptaannya kerana sekurang-kurangnya ia akan menjana pendapatan buat waris arwah,” luah Misha. - Kosmo!