Selasa, Mac 15, 2016

Melodi Lagu Tak Sedap Punca Ziana Zain Sepi Tanpa Lagu Baharu


Mementingkan melodi lagu yang sedap dan merasakan melodi sesebuah lagu itu yang menjadi tonggak utama kejayaan sesebuah lagu membuatkan penyanyi tersohor tanah air Ziana Zain, masih sepi tanpa sebarang lagu baharu.

Kali terakhir Ziana Zain muncul dengan single Dingin dan Melara Jiwa, yang antara lain menyaksikan Dingin layak ke pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu. 


Bercakap kepada HLive, Ziana berkata, dilema yang dilaluinya adalah untuk mencari melodi lagu dan susunan muzik yang benar-benar kena dengan jiwanya sekali gus boleh melonjakkan lagu tersebut menjadi popular dan siulan ramai.

Tambahnya, lagi, ada masanya dia sudah menyukai sesuatu lagu tersebut apabila mendengar kali pertama, namun apabila masuk ke dalam studio rakaman, yang sebaliknya pula berlaku. Hal ini merupakan antara faktor yang menyebabkan dia masih sepi tanpa sebarang album penuh yang kali terakhir diterbitkan pada tahun 2001. 


15 tahun tanpa album penuh, Ziana Zain masih menyimpan hasrat, paling tidak untuk hadir dengan mini album, dan tidak pernah meletakkan syarat kepada mana-mana komposer, yang penting melodi lagu mesti sedap dan memenuhi kriteria yang ditetapkan olehnya.