Rabu, Mac 23, 2016

Konsert Impian Arwah; Nora Mahu Kumpul Penyanyi Asal Lagu Allahyarham Adnan Abu Hassan


Penyanyi Nora juga anak didik arwah cukup terkesan dengan pemergian Adnan. Masakan tidak, jelas Nora, mereka mula bekerjasama sejak album pertamanya iaitu Sandiwara (1994). Lagu pertama ciptaan Adnan untuk Nora berjudul Interlud dan paling diingati sudah tentu Di Persimpangan Dilema yang masih ‘berhantu’ sehingga kini.

Sebaik mendapat khabar guru yang dianggap seperti abangnya itu sudah meninggal dunia, separuh jiwanya hilang. Kata Nora atau nama sebenarnya Wan Nora Afiza Ariffin, dia masih sukar untuk menerima hakikat bahawa insan yang rapat dengannya itu telah pergi buat selama-lamanya.


“Kali terakhir bertemu dengan arwah pada Januari lalu ketika showcase saya di Theatre Lounge Cafe, Plaza Damas, Kuala Lumpur. Arwah memang sakit dan kami mengusungnya kerana beliau tetap ingin hadir. Saya sebak sepanjang persembahan berkenaan.

“Sambil pegang tangannya, saya terfikir, janganlah momen ini menjadi kenangan terakhir saya bersama abang Adnan. Perkataan terakhir arwah sebut kepada saya adalah teruskan perjuangan dan beliau turut menangis,” tutur Nora dalam nada sebak.

Tersimpan kemas dalam memorinya, Adnan pernah meluahkan hasrat menghimpunkan semua penyanyi yang pernah mendapatkan khidmat beliau sebagai komposer dalam sebuah konsert di Istana Budaya. Sayangnya, impian tersebut tidak sempat dilaksanakan. Bagaimanapun ujar Nora, dia amat berbesar hati untuk meneruskan impian tergantung tersebut sebagai penghargaan buat arwah.

“Kelebihan arwah, lagu sentuhannya umpama magis dan hasil didikannya telah melahirkan ramai penyanyi hebat. Namun, saya terkilan kerana impiannya untuk menghimpunkan semua penyanyi yang pernah menggunakan khidmatnya selaku komposer tidak kesampaian. Andai ada penaja, saya amat berbesar hati untuk meneruskan rancangan arwah.Sekurang-kurangnya, hasil jualan tiket dapat disumbangkan kepada anak-anak arwah,” luah Nora. - Kosmo!