Rabu, Mac 09, 2016

Gagal Ujian Doping; Nike, Porsche Dan Tag Heuer Jauhkan Diri Daripada Maria Sharapova!


Sedikit masa dahulu, bekas pemain badminton nombor satu negara dan ternama negara Datuk Lee Chong Wei, gagal dalam ujian doping. Peristiwa itu bukan sahaja menjadi tamparan hebat kepada dirinya bahkan seluruh peminat beliau.

Hari ini tersebar berita lewat seisi media, pemain perseorangan tenis wanita ternama dunia, Maria Sharapova gagal dalam ujian doping ketika Terbuka Australia 2016, Januari lalu. Maria dikatakan mengambil sejenis ubat dikenali sebagai Meldonium, yang dimaktubkan sebagai bahan dadah terlarang oleh Agensi Anti Doping Dunia, selama hampir 10 tahun. 


Meldonium disenaraikan sebagai bahan larangan berkuat kuasa 1 Januari 2016. Persekutuan Tenis Wanita (WTA) belum mengumumkan apa-apa bentuk hukuman kepada wanita elegan ini. Bagaimanapun, 3 jenama ternama dunia yang menaja dan menjalinkan kerjasama dengan Maria Sharapova sudah mula menunjukkan reaksi.

Menurut BBC, jenama Nike sudah menggantungkan perhubungan kerjasama sehingga siasatan tamat, sementara itu jam tangan mewah Tag Heuer telah memutuskan kerjasamanya dan tidak mahu menyambung kontrak. Di samping itu, pembuat kereta mewah Porsche dari German menagguhkan kerjasama bersama Maria Sharapova sehingga keadaan ini dapat dirungkaikan. Jenama air mineral Evian pula berkata akan mengikuti perbicaraan kes ini dengan teliti.

Apapun, pastinya ini merupakan ujian berat buat pemegang gelaran Grand Slam lima kali, Maria Sharapova! Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) berkata, Maria Sharapova akan digantung sementara bermula 12 Mac, dan berhadapan penggantungan selama 4 tahun jika sabit diputuskan.