Ahad, Mac 20, 2016

Awie Ajak Erra Fazira Kahwin!


Erra Fazira dan Awie giat mempromosikan filem terbaharu lakonan mereka yang berjudul Warna Cinta Impian. Ironinya, episod percintaan mereka sudah lebih dua dasawarsa berlalu. Namun ia masih membekas dalam ingatan peminat tegar mereka.

Putik cinta mereka yang tumbuh ketika sama-sama membintangi filem Sembilu dan kemudian melangsungkan pertunangan pada 1996 sebelum akhirnya putus dengan episod kontroversi pada hujung 1998, masih segar dan melata di sanubari peminat yang masih menaruh harapan untuk kedua-duanya kembali bersama.

Tidak mampu untuk ditepis, tempias itu turut dirasai oleh Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman sehingga kini.

“Sampai ke hari ini, bila saya pergi Sabah dan Brunei misalnya, orang akan tanya Erra mana? Lagi-lagi bila isu kami sudah solo mula berbangkit.

“Nak buat macam mana, saya ajak kahwin dia tak nak. Ada kekasih muda katanya. Menurut apa yang saya baca di akhbarlah,” ujar Awie berseloroh sambil disambut oleh deraian ketawa semua yang ada di situ.


Sambil dinafikan oleh Erra, pemilik nama penuh Fazira Wan Chek itu juga menyatakan jawapan yang serupa dengan Awie.

“Memang ada peminat yang masih bertanya mengenai hubungan kami, tetapi saya anggap itu sebagai gurauan memandangkan hubungan kami dulu hanya tinggal kenangan. Masing-masing sudah ada kehidupan sendiri. - Kosmo!