Sabtu, Mac 19, 2016

Aura Jantan Remy Ishak Pikat Hati Ziana Zain!


Kool FM merupakan sebuah stesen radio terbaharu di bawah lembayung Media Prima Berhad. Pagi Sabtu, bersiaran segmen Super Kool 80, 90, yang membawakan lagu-lagu evergreen dari kedua-dua era itu bersama Liza dan Seelan Paul.

Minggu ini Liza, dan Seelan berkeudara bersama diva Ziana Zain. Salah satu soalan menarik yang diajukan kepada ibu kepada empat orang cahaya mata ini ialah, siapakah pelakon lelaki yang menjadi pilihannya untuk berlakon bersama!

Mengejutkan, rupanya diva kening terjongket yang mendapat jolokan Jennifer Lopez Malaysia ini, menyimpan minat terhadap aktor hitam manis, Remy Ishak. Ziana Zain sebelum ini mencipta nama pertama kali dalam dunia lakonan menerusi filem Sembilu bergandingan bersama Awie dan Erra Fazira.


Alasan paling kukuh yang dikemukakan di saluran radio berfrekuensi 90.3 di Pulau Pinang itu ialah pesona Remy Ishak yang nampak manly (jantan)! Hitam, kasar dan aura penuh kelelakian. Tambahnya lagi, Remy Ishak punya karakter yang utuh pabila menterjemahkan lakonannya. Lebih istimewa Ziana turut mnyatakan Remy juga punya dahi yang luas persis suami tercinta Armin Zaharin.

Untuk rekod, antara filem lakonan Ziana Zain ialah, Sembilu, Sembilu II, Merah, Maria Mariana, Maria Mariana II, Sembilu 2005, Pontianak Menjerit, Qabil Khusry Qabil Igam, dan Magika. Dalam kesemua filem ini Ziana pernah bekerjsama dengan pelakon lelaki seperti Awie, Edika Yusof, Rosyam Nor, dan Hans Isaac.

Dalam produk televisyen berupa telefilem, Ziana pernah tampil dalam lakonan hebat menerusi Cermin Pada Bulan, 4 Diva Sekampung, Tetamu Allah dan Nur Kasih Di Jabal Rahmah. Pelakon lelaki yang jauh lebih muda seperti Adi Putra dan Fahrin Ahmad antara yang bergandingan dengan Ziana Zain dalam telefilem ini.

Apapun, sudah lama Ziana Zain sudah tidak berkecimpung dalam dunia lakonan. Biarpun berminat dan terlalu rindu, namun komitmen sebagai seorang ibu yang menguruskan hal ehwal rumah tangga sepenuhnya tanpa bantuan pembantu rumah, ada kala membataskan waktu untuk terlibat dalam dunia lakonan.

Bagaimanapun, sebagai peminat, Zianafolks akan tetap mendoakan yang terbaik buat insan seni bernama Ziana Zain ini. Mana tahu pengarah tersohor negara, Erma Fatima sekali lagi akan menggandingkan Ziana dalam sebuah telefilem khas sempena lebaran mungkin? Kali ini pastikan dipasangkan bersama Remy Ishak, ya!