Sabtu, Mac 19, 2016

Allahyarham Adnan Abu Hassan Guru Pertama Siti Nurhaliza


Menurut penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, arwah Adnan merupakan orang yang paling berjasa dalam membentuknya menjadi insan seni disegani hari ini. Beliau orang pertama percayakan bakat Siti dan memberi didikan awal secara profesional kepada anak Kuala Lipis Pahang tersebut. Bagi Siti, beliau bukan sahaja seorang guru tetapi seorang abang.

“Kehilangannya amat dirasai kerana banyak kenangan manis bersamanya. Saya juga sempat tinggal di rumahnya pada awal kemunculan sebagai penyanyi. Dialah guru muzik pertama yang mendidik saya secara profesional dalam bidang nyanyian. Dia seorang yang sangat baik dan Allah memilihnya untuk meninggal pada hari Jumaat,” kata Siti.


Biarpun reda dengan ketentuan Ilahi, Siti sedikit ralat kerana tidak sempat melawat arwah ketika di penghujung hayatnya. Kali terakhir mereka bertemu kira-kira empat bulan lalu ketika arwah dimasukkan ke Hospital Selayang kerana diserang angin ahmar selepas terjatuh di bilik air.

Namun, Siti puas kerana sempat berkongsi pentas buat kali terakhir dengan arwah pada Konsert Unplugged 2015 di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Walaupun tahap kesihatannya ketika itu tidak berapa baik, tetapi semangatnya jelas kelihatan apabila mengiringi persembahan Siti dengan piano.
“Waktu itu memang saya berniat untuk mengajaknya bersama walaupun sedar beliau tidak sihat. Dalam keadaan sakit, arwah tetap bersemangat dan seronok apabila dapat pegang piano. Apa yang pasti walaupun arwah sudah tiada, beliau akan tetap memberi inspirasi kepada saya. Sayangnya selepas ini, tiada lagi lagu terbaharu daripada arwah,” tutur Siti. - Kosmo!