Isnin, Januari 04, 2016

Rosyam Nor Lakon Watak Ketua Penjahat Di Samping Rajinikanth


Pelakon dan penerbit popular Datuk Rosyam Nor, 48, memulakan episod kerjaya di tahun 2016 dengan langkah kanan apabila diberi penghormatan berlakon di samping ‘superstar’ filem Tamil Rajinikanth dalam filem Kabali.

Rosyam berkata, sejak mula berlakon dalam filem Gila-Gila Remaja pada 1986, inilah kali pertama dia terbabit dengan produksi filem luar negara. Lebih menarik, Kabali yang diarahkan Pa Ranjith itu antara filem lakonan Rajinikanth yang dinanti-nantikan tahun ini.

“Selepas 30 tahun bergelar pelakon, ini kali pertama saya berlakon dengan produksi luar. Ini langkah paling tepat untuk saya mengembangkan karier ke luar negara.

“Pada masa sama, saya bangga kerana dalam usia 48 tahun bakat lakonan saya terus diiktiraf,” katanya kepada RAP.


Bukan saja Rosyam, dua pelakon tempatan iaitu Norman Hakim dan Zack Taipan turut ditawarkan berlakon dalam filem berkenaan.

Tiga pelakon terbabit berlepas ke Chennai, India, pagi kelmarin untuk menjalani penggambaran selama 15 hari di sana. Selepas itu mereka akan kembali ke tanah air untuk menjalani penggambaran selama 20 hari lagi di Kuala Lumpur.

Penggambaran di Chennai dijangka bermula Sabtu ini.

Rosyam berkata, dalam filem berkenaan dia membawa watak orang kanan kepada ketua penjahat.
“Saya belum lagi melihat skrip dan hanya akan diberi taklimat mengenai filem ini di sana. Sebagai watak penjahat, saya dimaklumkan babak bersama Rajinikanth yang juga hero filem Kabali agak banyak.

“Pastinya saya akan menggunakan peluang berlakon bersama legenda filem Tamil yang terkenal di seluruh dunia ini dengan sebaik-baiknya. Ini satu penghormatan buat saya,” katanya.

Menurut Rosyam, dia ditawarkan watak berkenaan oleh salah seorang penerbit filem berkenaan yang mahu pembabitan pelakon dari negara ini ketika melakukan penggambaran di Melaka, baru-baru ini.

“Memandangkan filem ini turut menjalani penggambaran di Malaysia, penerbit mahukan beberapa pelakon tempatan melakonkan watak jahat dalam filem ini. Jadi, saya antara yang terpilih,” katanya.
Kabali ialah filem ke-159 lakonan Rajinikanth dan ia turut menampilkan beberapa bintang lain seperti Radhika Apte, Dhansikaa, Prakash Raj dan Kalaiarasan.

Terdahulu, filem berkenaan dikatakan akan turut dibintangi pelakon antarabangsa terkenal Jet Li, namun sumber daripada produksi Kabali menafikannya.

“Ia hanya khabar angin. Memang kami mahu menampilkan pelakon antarabangsa, tetapi bukan Jet Li,” kata sumber itu. - Metro