Sabtu, Januari 02, 2016

Rosyam Nor Dan Norman Hakim Berlakon Bersama Rajinikanth Dalam Kabali


Terlibat dalam produksi luar negara dalam bidang seni lakonan merupakan salah satu peluang dan kesempatan yang cukup berharga buat bintang seni tanah air. Apatah lagi, peluang yang ditawarkan itu datang daripada sebuah projek besar bertaraf antarabangsa yang menjadi perhatian dunia!


Beberapa hari lalu aktor berbadan sasa, Norman Hakim sempat memuat naik dokumen perjalanan ke Chennai dengan hashtag #Chennai #Film #Kabali. Penggunaan hashtag tersebut mengundang perhatian followers akaun sosial milik aktor senior berkenaan, lantaran Kabali merupakan filem terkini pelakon Superstar India Rajinikanth, yang sedang dalam penggambaran.

Terdahulu, Rajinikanth berada di Malaysia sekitar 1 bulan di beberapa lokasi yang dirahsikan daripada umum untuk penggambaran filem berkenaan. Khabar angin keterlibatan Jet Li dalam filem ini sebagai watak antagonis juga kedengaran. Bagaimanapun, sumber produksi filem Kabali menafikan keterlibatan Jet Li dalam filem tersebut.


Media Inggeris tempatan, The Star, hari ini melaporkan penglibatan 3 aktor Malaysia dalam projek filem mega ini. Yang dimaksudkan adalah Datuk Rosyam Nor, Norman Hakim dan Zack Taipan.  Pagi tadi, gambar aktor Norman Hakim dan Rosyam Nor berlepas ke Chennai turut dikongsikan dalam laman sosial.

Pengarah Urusan, Malik Streams Corporation, Abdul Malik Dastigeer, mengesahkan filem ini kembali menjalani penggambaran di India bermula Sabtu, 2 Januari hingga 15 Januari 2016. Produksi filem Kabali akan kembali turun ke Malaysia pada 20 Januari untuk menjalani penggambaran selama 50 hari.


Menurut sumber, produksi filem berkenaan menyasarkan Kabali ke pawagam pada 14 April 2016. Daripada Muz dan Nakhoda Nurani, sekalung tahniah diucapkan kepada Norman Hakim, Rosyam Nor, dan Zack Taipan kerana menjadi sebahagian daripada produksi filem mega ini bersama mega star Rajinikanth.