Selasa, Disember 15, 2015

Syarul Ridzwan Terima Kritikan Mutu Lakonan Teater Dengan Hati Terbuka


Lakonannya sebagai Putera Raja menerusi pementasan teater Bawang Putih Bawang Merah dikritik baru-baru ini, namun pelakon yang sedang popular menerusi drama bersiri Kau, Aku, Kita ini tidak pernah berkecil hati.

Menurut Syarul Ridzwan, sebagai pendatang baharu, dia akur dengan respons dan penerimaan penonton terhadap lakonannya.

"Saya anggap kritikan dan teguran mereka itu sebagai kata-kata semangat. "Lagi pun, saya masih mentah dalam bidang teater dan kita sendiri tahu, teater memerlukan kerja kuat untuk memastikan watak yang dibawa dapat direalisasikan dengan baik," katanya.


Ujar pelakon 26 tahun itu, peluang yang diberikan untuk menjadi pelakon teater tidak mungkin ditolaknya walaupun percubaan kali keduanya ini masih tidak berhasil.

"Selepas Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, saya terus mendapat tawaran berlakon teater.
"Walaupun wataknya sekadar sampingan, namun ia pengalaman yang berharga kepada saya.
"Kerana itu, saya meminta mereka di luar sana untuk memberikan peluang kepada saya menebus kesilapan saya selepas ini," katanya.

Tambah Syarul, dia bagaimanapun sudah memberikan yang terbaik ketika menjadi Putera Raja.

"Setiap pandangan, persepsi dan penerimaan seseorang itu tidak sama. Ada yang suka lakonan saya.

"Apa pun, saya ambil semua komen negatif itu sebagai kayu pengukur dalam bidang ini dan untuk membaik pulih mutu lakonan saya," katanya. - Sinar