Rabu, Disember 23, 2015

Kerana Politik Aishah Dipinggirkan Meski Ingin Aktif Di Pentas Hiburan



Penyanyi Aishah masih mengimpikan hasrat untuk muncul di mana-mana pentas hiburan namun tiada pihak sudi menjemputnya ekoran penglibatan dia dalam bidang politik parti pembangkang.

Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 50, berharap persepsi terhadapnya segera dihapuskan selain meminta semua pihak tidak mencampur-adukkan kariernya sebagai penyanyi dan penglibatannya dalam politik.

"Secara jujurnya saya tidak pernah bersara tetapi dalam situasi tertentu saya dipinggirkan hanya kerana saya ada pendirian dalam politik.

"Saya tidak faham kenapa dua perkara itu perlu disatukan sedangkan saya sendiri tidak pernah mencampurkan hal berkenaan dan masih aktif sebagai penyanyi.


"Sudah tentu saya rindu untuk menyanyi di pentas kerana itu adalah cinta saya tetapi kerana label yang telah diletakkan kemunculan saya itu terhad dan berharap pendirian saya bukan penghalang untuk bergerak aktif dalam bidang seni," katanya kepada mStar Online.

Aishah ditemui ketika hadir pada majlis sambutan ulang tahun majalah hiburan URTV ke-45 tahun di Saloma Bistro di sini pada Ahad.

Pada acara itu, Aishah mendendangkan lagu Janji Manismu dan persembahan itu mendapat perhatian ramai kerana kemantapan vokalnya masih menyerlah.

Aishah ketika ditanya mengenai kemunculannya pada acara berkenaan Aishah berkata, dia tidak menyangka disambut meriah selain dapat melepaskan rindu bersama rakan seperjuangannya sebelum ini.

"Majlis URTV ini adalah acara pertama saya dijemput dan saya sangat teruja dapat berjumpa dengan rakan-rakan lama dalam industri dan saya terkejut dengan kemeriahan majlis ini tetapi rasanya orang lain lebih terkejut ketika nampak saya hadir.

"Bagaimanapun saya seronok dapat hadir kerana saya sendiri pun tidak mahu memutuskan silaturahim dengan rakan-rakan," ujarnya yang sudah 30 tahun terlibat dalam dunia seni.

Dalam pada itu, Aishah berharap dia tidak terus dipinggirkan kerana banyak pengalamannya sebagai penyanyi ingin disumbangkan kembali kepada industri.